am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia bersetuju memperkukuh kerjasama menjelang pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR).
Ia bagi memastikan penggiat industri daripada komoditi seperti minyak sawit, getah, kayu dan koko dari Malaysia bersedia memenuhi keperluan ditetapkan, sekali gus memberi manfaat bersama kepada semua pihak berkepentingan.
EU dalam kenyataan di laman webnya hari ini berkata, Pesuruhjaya Alam Sekitar, Daya Tahan Air dan Ekonomi Kitaran Mampan EU, Jessika Roswall, menzahirkan penghargaan terhadap usaha Malaysia menyelaraskan skim pensijilan kemampanan negara, terutamanya Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dengan keperluan EUDR.
“Beliau mengiktiraf MSPO sebagai skim kemampanan yang berwibawa dengan sistem pengesanan digital berstandard tinggi yang boleh membantu penggiat industri EU mematuhi EUDR dalam mendapatkan komoditi pertanian sah dan bebas penebangan hutan dari Malaysia.
“Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula menekankan penubuhan sistem berpusat nasional Malaysia yang berfungsi membantu pengeksport memenuhi syarat EUDR.
“Platform tunggal itu mengintegrasikan rekod pengesanan, peta poligon, data pensijilan MSPO serta pengesahan status sah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Pesuruhjaya Roswall turut memuji kerjasama konstruktif serta usaha Malaysia menurunkan kadar penebangan hutan ke tahap paling rendah, selain mengiktiraf komitmen negara memperkukuh langkah memerangi penebangan hutan, khususnya yang berpunca daripada aktiviti pertanian.
“Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan sistem tadbir urus yang telus, boleh diukur dan berakauntabiliti.
“EU terus menjadi pasaran penting bagi komoditi sah dan bebas penebangan hutan dari Malaysia.
“Usaha negara memastikan pengeluaran komoditi yang diperakui serta ketelusan rantaian bekalan, khususnya dalam sektor sawit, getah dan kayu, dianggap sangat penting oleh EU,” katanya.
Katanya, Pesuruhjaya Roswall turut menawarkan penganjuran bengkel teknikal berhubung EUDR dalam format persidangan maya, bagi meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan pihak berkepentingan yang terbabit dengan komoditi berkaitan di Malaysia.
“Ia termasuk peranan skim pengesanan seperti MSPO di bawah EUDR dan EU turut menegaskan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi memperkukuh rantaian bekalan bebas penebangan hutan, antaranya melalui projek menyokong pekebun kecil membekalkan minyak sawit dan getah mampan serta boleh dikesan ke pasaran EU.
“Pesuruhjaya Roswall bersama Johari turut melawat Pulau Carey yang menampilkan inisiatif pemerkasaan komuniti Orang Asli dan pertanian regeneratif berpandukan Amalan Pertanian Baik MSPO,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, lawatan kemudian diteruskan ke ladang SD Guthrie yang mempamerkan bagaimana peneraju global perladangan sawit melaksanakan pengesanan dan ketelusan rantaian bekalan.
“Pameran di Pulau Carey yang membabitkan pekebun kecil Orang Asli serta ladang berskala besar memberi peluang berharga kepada Suruhanjaya Eropah dan pengawal selia EU menyaksikan langkah komprehensif industri sawit Malaysia dalam melaksanakan agenda kemampanan.
“Inisiatif itu membuktikan usaha ke arah kelestarian dilaksanakan dengan teliti di seluruh sektor, tanpa mengira saiz operasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd