harisfadli@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon turun padang dan secara peribadi menurunkan papan iklan haram membabitkan sebuah syarikat pengeluar kenderaan di Lebuhraya Persekutuan, di sini, semalam.
Mohamad Zahri berkata, pihaknya percaya pemilik papan iklan gergasi itu sedar melakukan kesalahan malah sudah dua kali diberikan notis namun masih terus berdegil.
Menurutnya, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah memotong bekalan elektrik di lokasi dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini namun pemilik papan tanda bertindak berani dengan menggunakan penjana namun sudah disita pada 29 Ogos
“Hari ini kita dapati mereka menggunakan (panel) solar pula, malah mereka memasang struktur kamera litar tertutup (CCTV) dan perkara ini seolah-olah mencabar kita.
“Jadi hari ini walaupun hari cuti umum kita akan turunkan iklan ini dan mana-mana struktur dibina tanpa kelulusan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di lokasi, di sini, tengah malam tadi.
Mohamad Zahri berkata, tidak kira syarikat besar ataupun kecil, pihaknya tidak menghalang untuk mengiklankan produk masing-masing namun haruslah mematuhi peraturan ditetapkan.
Katanya, sebagai Datuk Bandar beliau bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera bagi mengelakkan perbuatan itu berleluasa.
“Syarikat iklan dari sebesar mana pun kalau mereka nak berniaga yang elok, kita tak menghalang, cuma ikut peraturan,
“Kalau saya sebagai Datuk Bandar tak ambil tindakan, siapa lagi nak ambil tindakan? Kalau orang lain tahu (papan tanda) ini tak ada kebenaran, dia (vendor) buat, vendor lain buat juga nanti.
“Saya tak suka bagi amaran tapi saya suka untuk menasihatkan mana-mana pihak yang nak buat iklan, buat apa jua ada peraturan, kalau tidak ikut akan kena (tindakan),”katanya.
Terdahulu Mohamad Zahri secara peribadi memotong sebahagian daripada kanvas iklan bersaiz 37 meter panjang dan 9 meter tinggi berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



