Bergamo: Era baharu Gennaro Gattuso bermula baik apabila Itali membelasah Estonia 5-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 – meledak di akhir babak kedua selepas buntu hampir sejam.
Skuad Azzurri sebelum ini ditekan hebat selepas kekalahan 3-0 kepada Norway pada Jun lalu yang menamatkan khidmat Luciano Spalletti, dan kemenangan ini membantu misi mereka memburu slot ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Itali kini di tangga ketiga Kumpulan I pada enam mata daripada tiga perlawanan, manakala Norway mendahului dengan 12 mata, Israel mengumpul sembilan mata, dan Estonia keempat pada tiga mata selepas lima perlawanan.
“Kami tunjukkan keazaman, kerja keras dan rendah hati sepanjang minggu. Kami buktikan kami masih berdiri dan mahu berjuang untuk layak,” kata Mateo Retegui, penjaring dua gol perlawanan itu kepada RAI Sport.
Itali menguasai separuh masa pertama dengan deretan peluang, namun percubaan terbaik hadir sebelum rehat apabila tandukan Retegui ditepis Karl Hein ke palang.
Selepas rehat, Hein terus menjadi penghalang dengan beberapa aksi menyelamat, namun akhirnya Moise Kean memecah kebuntuan pada minit ke-58 hasil hantaran Retegui.
Retegui menambah gol kedua pada minit ke-69 dengan penyudah tepat ke penjuru gawang sebelum Giacomo Raspadori menanduk masuk gol ketiga seminit kemudian.
Retegui sekali lagi mencetak nama pada minit ke-89 menerusi tandukan jarak dekat, sebelum Alessandro Bastoni menutup pesta jaringan dengan gol kelima dalam masa kecederaan.
“Kami hanya kekurangan jaringan di separuh masa pertama, tetapi prestasi pemain harus diberi pujian,” kata Gattuso.
Dengan momentum positif ini, Itali bakal berdepan perlawanan penting menentang Israel di Hungary pada Isnin, namun Gattuso tetap mengingatkan skuadnya supaya kekal tenang.
“Tiada apa yang boleh diambil mudah. Objektif kami jelas — untuk menggembirakan rakyat Itali dan mengembalikan semangat mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd