Protes pemerintahan junta, lebih 11,000 warga universiti di Myanmar digantung tugas

Protes pemerintahan junta, lebih 11,000 warga universiti di Myanmar digantung tugas

Penunjuk perasaan anti rampasan kuasa memegang bendera parti Aung San Suu Kyi di Yangon, semalam. (Gambar AP)

YANGON: Lebih daripada 11,000 ahli akademik dan kakitangan universiti lain yang membantah pemerintahan junta di Myanmar digantung tugas selepas mengadakan mogok sebagai protes, menurut sebuah kumpulan pendidik.

Penggantungan tugas yang dikenakan ketika universiti menyambung semula sesi selepas setahun ditutup akibat wabak Covid-19 mencetuskan konfrontasi baharu antara tentera dan warga universiti yang menyeru boikot susulan rampasan kuasa pada 1 Feb.

“Saya sedih kerana terpaksa melepaskan pekerjaan yang saya suka, tetapi saya bangga kerana menegakkan keadilan,” kata seorang rektor universiti berusia 37 tahun, yang ingin dikenali sebagai Thandar.

“Jabatan saya memanggil saya hari ini, saya tak akan pergi (jumpa mereka). Kita tak perlu ikut arahan majlis tentera.”

Seorang profesor yang sedang mengikuti program felo di Amerika Syarikat diberitahu beliau mesti mengisytiharkan bantahan terhadap mogok, atau beliau akan diberhentikan.

Pihak berkuasa universitinya memaklumkan setiap ahli sarjana akan dikesan dan dipaksa untuk memilih, kata beliau kepada Reuters.

Jurucakap junta tidak memberikan sebarang komen berhubungan penggantungan tugas tersebut.

Myanmar mempunyai lebih daripada 26,000 guru di universiti dan institusi pengajian tinggi lain pada 2018, menurut data terbaru Bank Dunia.

Pelajar dan warga pendidik berada di barisan hadapan protes terhadap pemerintahan tentera selama separuh abad, selain protes sejak penahanan pemimpin yang dipilih secara demokratik, Aung San Suu Kyi.

Ramai pendidik, selain petugas kesihatan dan kakitangan kerajaan lain, telah berhenti daripada menjalankan tugas sebagai sebahagian daripada gerakan ketidakpatuhan awam yang melumpuhkan Myanmar.

Di Universiti Teknologi Yangon Barat, sebuah institusi awam, kesatuan pelajarnya menerbitkan senarai nama 180 kakitangan yang digantung tugas, dan menganggap mereka sebagai hero.

“Saya tak sedih ketinggalan pelajaran,” kata seorang pelajar Universiti Pendidikan Yangon, yang dikenali sebagai Hnin.

“Tak rugi apa-apa ketinggalan pendidikan (yang ditawarkan) junta.”

Sistem pendidikan di Myanmar adalah antara yang berprestasi terburuk di rantaunya, dengan menduduki tempat ke-92 daripada 93 negara dalam sebuah tinjauan global tahun lalu.

Scroll to Top