Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sekali lagi mencatat sejarah apabila dinobat sebagai penerima Asia Pacific Enterprise Awards (APEA) 2025 bagi kategori Inspirational Brand dalam majlis berprestij yang berlangsung di The Sands Expo & Convention Centre, Marina Bay Sands, Singapura pada 5 September lalu.
Difahamkan, pengiktirafan antarabangsa ini membuktikan komitmen YWM sebagai entiti wakaf kebangsaan yang terus memperkasa instrumen wakaf dalam pendidikan, kesihatan, pembangunan komuniti, kelestarian alam sekitar serta pemerkasaan ekonomi.
Penghargaan Yayasan Waqaf Malaysia adalah buat rakyat Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif YWM, YBrs. Dr. Ridzwan Bakar menyatakan pengiktirafan ini adalah milik seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi negara.
YWM akan terus melangkah ke hadapan dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab wakaf terkemuka dunia dan usaha ini perlu mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak.
Yayasan Waqaf Malaysia pemangkin ekonomi inklusif
Dalam pada itu, melalui pendekatan inovatif di bawah Pelan Al-Falah, YWM berjaya menjadikan wakaf sebagai pemangkin ekonomi inklusif dan mampan, sekaligus mengangkat nama Malaysia sebagai model unggul wakaf di peringkat global.
Artikel lain: Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Taqwa sumbang RM110,000 untuk mahasiswa UiTM
Sekadar info, Yayasan Waqaf Malaysia merupakan entiti wakaf kebangsaan yang ditubuhkan pada 23 Julai 2008 dan didaftarkan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258].