Wroclaw: Kylian Mbappe menyifatkan pencapaiannya menyamai rekod legenda Perancis, Thierry Henry dengan 51 gol antarabangsa sebagai satu penghormatan besar, namun menegaskan tumpuannya kekal kepada memburu kejuaraan bersama Les Bleus.
Gol minit ke-82 bintang Real Madrid itu ketika menewaskan Ukraine 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium Wroclaw, Poland, menyaksikan dia kini menyamai kedudukan Henry di tangga kedua penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis, hanya enam gol di belakang Olivier Giroud (57).
“Salut buat Titi (Henry)! Tapi sekarang saya mahu lepasi dia! Ia satu penghormatan menyamai pemain seperti Henry,” kata Mbappe, 26.
“Semua orang tahu apa ertinya buat rakyat Perancis, khususnya penyerang. Dia yang membuka jalan, dan saya sangat menghormati serta mengaguminya.
“Mencapai tahap ini pada usia muda sesuatu yang gila, tetapi saya suka. Saya mahu terus mara dan yang paling penting, menang perlawanan serta kejuaraan.”
Giroud menutup karier antarabangsa selepas Euro 2024, sementara Mbappe yang sudah menjulang Piala Dunia 2018 dan Liga Negara-Negara 2020/21, kini dilihat berada di landasan tepat untuk bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman Les Bleus.
Perancis selepas ini akan melayan kunjungan Iceland dalam aksi Kumpulan D di Parc des Princes, Rabu depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

