RAKYAT Gaza terus dihimpit dengan krisis kemanusiaan dan kini berdepan dengan sekatan secara menyeluruh oleh tentera rejim Israel.
Konflik yang berlaku di Gaza bukan lagi isu agama sebaliknya isu kemanusiaan dan tindakan rejim Israel melangkaui batas kemanusiaan.
Untuk mendapatkan gambaran sebenar, Kafe Ahad menemubual Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) ZULKIFLI WAHIJAN bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.
Mengapa Gaza begitu dekat di hati tuan dan apa pengalaman awal di sana?
Saya pertama kali masuk Gaza pada 2008, kemudian 2012, 2013 dan 2019.
Pergi sendiri membuka mata pemimpin Palestin sangat tawaduk, ada yang ke pejabat menaiki teksi, ada yang memandu kereta tahun 70-an.
Daripada situlah kami mulakan bantuan infrastruktur iaitu bina masjid, sekolah, kilang roti, klinik mata, telaga tiub untuk air bersih, pasang panel solar, sedia van Orang Kurang Upaya (OKU) dan bas sekolah.
Kami juga membaiki jalan dan mendirikan wakaf bangunan perniagaan.
Semua ini lahir daripada pengalaman sebenar melihat rakyat yang bangkit bersama, bukan sekadar berita di televisyen.
Sejauh mana kemusnahan infrastruktur selepas perang rejim Israel dan Gaza yang tercetus kira-kira dua tahun lalu?
Hari pertama selepas Taufan Al-Aqsa, masjid kami, masjid di Khan Younis (dibina 2013) musnah dibom.
Sekolah, perpustakaan, kilang roti, juga jalan raya rosak teruk. Hampir semuanya hancur, yang tinggal hanya sebahagian wakaf bangunan perniagaan yang siap awal 2023; pada hemat saya sebahagiannya masih boleh digunakan.
Sebagai ganti segera, kami bina sembilan surau sementara iaitu sekitar RM20,000 setiap satu yang mampu memuatkan hingga 1,000 jemaah, tetapi beberapa surau itu turut dibom kemudian.
Walau diuji, kami tidak patah semangat setiap struktur sementara ialah ‘nyawa’ untuk komuniti.
Bagaimana keadaan kemanusiaan kini dan pandangan tuan mengenai bantuan udara?
Sejak sempadan diketatkan secara menyeluruh sekitar Mac 2025, kematian bukan hanya akibat bom, tetapi kelaparan, kita sendiri boleh lihat penduduk di Gaza hanya tinggal tulang kerana kekurangan makanan dan masalah kekurangan nutrisi untuk kanak-kanak.
Bekalan ubat terhad sehingga satu dos terpaksa dikongsi ramai. Harga makanan melambung, tepung mencecah RM200 hingga RM250 sekilogram, seulas bawang putih sekitar RM4.
Bantuan udara ini bagi saya lebih ‘gimik’, sekurang-kurangnya 26 maut ditimpa kargo, kosnya kira-kira 100 kali laluan darat dan bekalan yang sampai saya anggarkan tidak cecah 10 peratus keperluan.
Bantuan perlu koridor darat yang konsisten, bukan titisan berisiko daripada udara.
Mendepani pelbagai sekatan yang ketat, bagaimana MCM memastikan bantuan terus sampai dan tepat sasaran?
Kami bergerak pada tiga landasan. Pertama, air. Kami bekalkan dua lori tangki (10,000 liter dan 5,000 liter) mengedar kira-kira 15,000 liter sehari menggunakan pam solar dari telaga di Khan Younis serta Rafah serta selagi ada bahan api.
Kedua, makanan, apabila nasi atau sup harian tidak lagi mampu, membeli bekalan melalui laluan komersial yang sesekali dibenar.
Ketiga, kesiapsiagaan, kami membetulkan pra kedudukan stok antaranya selimut, khemah, tepung, minyak di gudang Mesir.
Di samping itu kami siapkan daging korban beku serta bertin serta makanan retort (nasi Arab dan lauk) yang tahan sehingga dua tahun supaya bila koridor dibuka, kami boleh masuk segera dalam skala besar.
Bagaimana MCM menjaga ketelusan dan membina kepercayaan jangka panjang?
Prinsip saya mudah, amanah yang terlihat. Setiap serahan kami dokumentasikan dan siarkan di saluran rasmi supaya orang ramai boleh menjejak bukti penghantaran.
Daripada segi tadbir urus, kami bersedia diaudit dan mengikut piawaian integriti didorong akauntabiliti dan ketelusan.
Pintu kami terbuka kepada media dan penyumbang untuk meninjau operasi, termasuk gudang di Mesir atau misi di Lubnan, Jordan dan Syria.
Sasaran jangka panjang ialah taraf NGO antarabangsa meluaskan jaringan dengan kerajaan serta NGO korporat, memperkukuh sumber kewangan, dan yang teras meningkatkan bilangan penerima manfaat tanpa menggadaikan integriti.
Bagi saya, sedikit tetapi istiqamah lebih bermakna daripada besar tetapi sekejap.
© New Straits Times Press (M) Bhd




