am@hmetro.com.my
Gua Musang: Kira-kira 100 penduduk kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Kampung Jerek, di sini, bimbang susulan kemunculan seekor beruang matahari yang berkeliaran berhampiran penempatan itu sejak dua minggu lalu.
Pengerusi Kuarters SMK Tengku Bendahara, Nor Suzlina Umar berkata, kali pertama penduduk melihat beruang itu pada 25 Ogos lalu berhampiran kuarters penduduk.
Katanya, kemunculan beruang itu yang mencari makanan di tempat pembuangan sampah sempat dirakam seorang guru yang tinggal di kuarters terbabit.
“Kini kami hidup dalam kebimbangan susulan kemunculan beruang itu. Apatah lagi haiwan liar ini pernah dilihat anak saya berada berhampiran kuarters kami.
“Pada Jumaat minggu lalu, anak saya sempat melihat kelibat beruang terbabit yang berada di belakang kuarters kira-kira jam 9 malam.
“Ketika itu anak ingin mengambil bola dan ternampak haiwan liar itu dari jauh sebelum berlari masuk ke dalam rumah.
“Sejak itu pada waktu malam, kami tidak berani keluar dan mengunci pintu, bimbang jika beruang terbabit berkeliaran di kawasan blok kuarters untuk mencari makan,” katanya.
Seorang penduduk, Ismail Shafii, 41, berkata, dia berharap tindakan segera dapat diambil pihak berwajib untuk menangkap haiwan liar itu yang boleh membahayakan keselamatan terutama kanak-kanak.
“Laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sudah kami buat dan mereka sudah datang serta memberi khidmat nasihat kepada penduduk di sini.
“Namun kami tetap bimbang dengan keselamatan anak-anak yang bermain di sekitar blok dan taman permainan yang terletak di belakang blok.
“Tambahan pula di kampung ini sudah ada kes kematian yang membabitkan serangan haiwan liar. Di Kampung Jerek ini sudah beberapa ekor beruang berjaya ditangkap PERHILITAN,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, beliau sudah menerima aduan penduduk mengenai kemunculan beruang terbabit selain membuat laporan kepada PERHILITAN.
“Kemunculan haiwan liar ini membimbangkan penduduk di kuarters terutama membabitkan aspek keselamatan. Saya akan terus berhubung dengan PERHILITAN untuk memohon bagi pemasangan perangkap di kawasan ini,” katanya.
Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya sudah menerima aduan terbabit dan pemantauan sedang dilakukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




