am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dijalankan suami isteri tumpas apabila dadah bernilai kira-kira RM2.5 juta dirampas dalam serbuan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Selasa lalu.
Serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, kira-kira jam 10.30 malam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, turut ditahan bersama pasangan berusia 43 tahun dan 30-an itu adalah teman wanita kepada suspek lelaki iaitu warga tempatan berusia 30-an.
Menurutnya, dalam serbuan, polis berjaya merampas 76 bungkus dadah disyaki syabu dengan berat kira-kira 80 kilogram (kg) yang diletakkan dalam bungkusan teh cina.
“Dalam serbuan di sebuah rumah berpagar dan berpengawal, polis menahan seorang lelaki tempatan bersama isterinya, wanita warga Indonesia dan seorang wanita tempatan.
“Hasil siasatan, polis merampas 76 bungkus dadah disyaki syabu dengan anggaran bernilai RM2.5 juta.
“Modus operandi sindiket ini menjadikan rumah sebagai stor transit menempatkan dadah sebelum diedarkan ke pasaran luar negara iaitu Kepulauan Riau dan Batam, Indonesia.
“Pasangan ini bukan dalang kerana risikan lanjut dipercayai mereka dengan kaitan dengan sindikit lain. Sekiranya risikan positif akan ada tangkapan susulan akan datang.
“Sindiket ini bergiat secara aktif sejak April tahun lalu. Rampasan dadah ini sekiranya terlepas boleh digunakan seramai 400,000 penagih,” katanya dalam sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.
Menurut Ab Rahaman, selain dadah, pihaknya turut menyita empat kereta, dua motosikal, wang tunai RM4,000, wang tunai Indonesia 14 juta Rupiah (RM3,607) dan jongkong emas bernilai RM21,497.93.
Katanya, modus penjualan dadah sindiket terbabit adalah menyeludup ke Batam, Indonesia dipercayai menggunakan jalan laut.
“Pasangan suami isteri itu tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini. Hasil siasatan mendapati wanita Indonesia itu mempunyai pas perjalanan yang sah dan kerap keluar masuk menggunakan visa pelancong.
“Suspek lelaki mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, manakala suspek wanita tempatan mempunyai enam rekod jenayah lampau.
“Saringan ujian air kencing mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Katanya, kesemua suspek direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek wanita warga Indonesia turut disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd




