am@hmetro.com.my
Kuantan: Istana Pahang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pernah menawarkan sebarang bentuk bantuan kepada orang ramai melalui platform TikTok.
Menerusi hantaran Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini, penafian itu dibuat susulan kemunculan sebuah akaun TikTok menggunakan nama ‘Datuk Muhammad Yusuf’ yang didapati memperdaya masyarakat dengan memanipulasi wajah baginda menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
“Istana Pahang menegaskan bahawa perbuatan itu adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar lebih berhati-hati, bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan di media sosial,” menurut hantaran itu.
Pada masa sama, orang ramai juga digesa segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej yang mencurigakan atas nama Tengku Ampuan Pahang.
Susulan itu, Istana Pahang membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




