Anak kejam sanggup serang, cungkil mata ibu

Anak kejam sanggup serang, cungkil mata ibu

am@hmetro.com.my

Butterworth: Pengawal keselamatan yang menyerang dan mencungkil mata ibu kandungnya di sebuah flat di Mak Mandin, di sini, semalam direman empat hari untuk membantu siasatan.

Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal membenarkan suspek lelaki berusia 47 tahun direman bermula hari ini hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dibawa polis ke mahkamah untuk mendapatkan proses tahanan reman berkenaan.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa berusia 72 tahun diserang anaknya sebaik baru pulang ke rumah selepas menghadiri kelas agama di masjid berhampiran.

Mangsa kemudian dihalau anaknya sebelum suspek bertindak mencungkil mata ibunya selain menyerangnya menggunakan objek tajam hingga menyebabkan kecederaan pada anggota badan.

Mangsa berjaya diselamatkan jiran sebelum dia dibawa ke hospital untuk rawatan.

Difahamkan, mangsa terpaksa menerima jahitan pada bahagian muka akibat kejadian berkenaan.

Berikutan itu, polis menahan suspek di rumah terbabit dan saringan ujian air kencing mendapatinya positif dadah.

Suspek dikatakan baharu sahaja dibebaskan daripada pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 2 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top