saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan bersedia dengan apa sahaja keputusan Olahraga Malaysia (MA) sama ada mahu memilihnya beraksi di Sukan SEA Thailand pada Disember ini dalam acara 4×100 meter (m) atau sebaliknya.
Jelas pelari yang mempunyai pengalaman luas beraksi di temasya dwi tahun itu, dia sedar perlu bersaing dengan barisan pelari pecut yang jauh lebih muda daripadanya untuk mendapatkan tempat ke Thailand.
Bagi Khairul Hafiz, sesiapa sahaja yang terpilih untuk beraksi dalam acara 4x100m itu nanti perlu mempertahankan rekod untuk memenangi pingat di mana kuartet negara tidak pernah pulang tangan kosong sejak edisi 2021 di Hanoi.
“Saya pun tak pasti lagi (terpilih atau tidak) sebab saya tak nak orang cakap guna kabel (jika terpilih) ataupun apa, sebab saya tahu saya punya prestasi sekarang agak ‘down’ dan baru berlatih beberapa minggu selepas baru baik daripada alami kecederaan.
“Jadi, memang saya tak ada sebarang tekanan kerana saya tahu diri saya macam mana.
“Andai kata saya tak pergi ke Sukan SEA, saya terima dan kalau diberikan peluang untuk ke Sukan SEA pun saya terima. Saya hanya ingin bantu pasukan negara untuk dapatkan pingat.
“Jadi kalau tak ada rezeki saya untuk ke Sukan SEA, masih ada senior iaitu Jonathan (Nyepa) yang boleh bimbing barisan pelari muda negara,” katanya.
Pada edisi Hanoi 2021, kuartet negara meraih perak dan juga rekod kebangsaan 39.09s ketika diperkuat oleh pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tanpa pembabitan Khairul Hafiz yang tidak terpilih ke temasya itu.
Pada edisi 2023 di Kemboja pula, gandingan Khairul Hafiz bersama Jonathan Nyepa, Mohamad Eizlan Dahalan dan Muhammad Arsyad Md Saat berjaya meraih gangsa dengan catatan 39.36s.
Kuartet kebangsaan dibarisi Khairul Hafiz, Jonathan, Pengiran Aidil Auf Pengiran Rosli dan Danish Iftikar Muhammad Roslee merekodkan masa rasmi 39.68s untuk merangkul emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025, baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




