Tunisia pasukan Afrika kedua layak ke Piala Dunia 2026

Tunisia pasukan Afrika kedua layak ke Piala Dunia 2026

Johannesburg: Mohamed Ali Ben Romdhane menjaringkan gol pada masa tambahan untuk memberikan Tunisia kemenangan 1-0 ke atas Guinea Equatorial, awal pagi tadi sekali gus mengesahkan kelayakan mereka ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.

Kemenangan itu memberikan Tunisia kedudukan yang tidak boleh dikejar lagi dalam Kumpulan H, dan mereka menjadi negara Afrika kedua layak ke kejohanan itu selepas Maghribi yang mara ke separuh akhir pada edisi 2022.

Tunisia mengumpul 22 mata daripada lapan perlawanan, 10 mata mengatasi Namibia di tempat kedua, yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan tetapi tidak mampu menyamai jumlah mata pasukan Carthage Eagles.

Pemain gantian Ben Romdhane, pemain tengah dari kelab gergasi Mesir dan Afrika, Al Ahly menjaringkan gol pada minit ke-94 selepas menerima hantaran daripada Firas Chaouat.

Dia juga menjaringkan satu-satunya gol menerusi sepakan penalti ketika Tunisia menewaskan pasukan sama pada perlawanan ketiga tahun lalu.

“Apabila Firas Chaouat menerima bola pada saat-saat akhir, saya tahu dia akan mengatasi pemain Guinea,” kata Ben Romdhane kepada televisyen Tunisia.

“Jadi saya mara ke hadapan dan meletakkan diri di posisi yang baik untuk menjaringkan gol,” tambah pemain berusia 26 tahun itu, yang menyertai Al Ahly tahun ini dari kelab Hungary, Ferencvaros.

“Ini perlawanan paling sukar dalam kelayakan, dan kami sudah jangka memandangkan keadaan padang dan kelembapan,” kata rakan sepasukan, pemain tengah Ferjani Sassi.

“Mereka ada banyak peluang, tetapi kami bersedia. Kami percaya pada diri kami hingga ke saat akhir.”

Tunisia memulakan perlawanan di Malabo dengan barisan pemain dari sembilan negara berbeza, termasuk Hannibal Mejbri dari kelab Liga Perdana Inggeris, Burnley.

Pasukan Eagles dikendalikan bekas pemain pertahanan tengah, Sami Trabelsi, yang pernah menjadi kapten Tunisia di Piala Dunia 1998 di Perancis.

Tunisia kini layak ke Piala Dunia sebanyak tujuh kali, dan berharap untuk memperbaiki rekod hanya tiga kemenangan daripada 18 perlawanan dan belum pernah melepasi pusingan pertama.

Afrika Utara dijangka akan mempunyai empat wakil di Piala Dunia 2026, dengan Mesir (juara Piala Negara-Negara Afrika sebanyak tujuh kali) dan Algeria berpotensi menyertai Maghribi dan Tunisia.

Mesir akan layak jika mereka menang dalam pertembungan teratas Kumpulan A menentang Burkina Faso tengah malam ini manakala Algeria hanya memerlukan tiga mata lagi untuk menjuarai Kumpulan G selepas seri 0-0 dengan Guinea.

Uganda dan Mozambique merapatkan jurang kepada empat mata di belakang Algeria selepas masing-masing menang 2-0 ke atas Somalia dan Botswana.

Algeria akan menentang pasukan tercorot Somalia dan kemudian menjadi tuan rumah kepada Uganda pada Oktober, dan dijangka mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia buat kali kelima.

Maghribi pula mempamerkan kekuatan skuad mereka apabila merehatkan beberapa pemain bintang, termasuk pemain pertahanan Paris Saint-Germain, Achraf ketika menewaskan Zambia 2-0 dalam Kumpulan E di Ndola.

Maghribi yang menyingkirkan Sepanyol dan Portugal dalam laluan ke separuh akhir Piala Dunia 2022, kini satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod 100% dalam kelayakan Afrika dengan tujuh kemenangan.

Pendahulu Kumpulan I, Ghana, semakin hampir untuk layak ke Piala Dunia buat kali kelima dalam enam edisi selepas menewaskan Mali 1-0 di Accra menerusi gol awal separuh masa kedua oleh Alexander Djiku.

Ghana kini mengumpul 19 mata, tiga mata mengatasi Madagascar. Pasukan pilihan, Mali, tidak lagi berpeluang menjuarai kumpulan, dan harapan mereka kini hanya bergantung kepada kemungkinan menjadi antara empat pasukan naib juara terbaik.

Baki 15 perlawanan hari perlawanan ke-8 dijadual berlangsung malam ini dan awal pagi esok dengan pendahulu kumpulan seperti Republik Demokratik Congo, Afrika Selatan, Cape Verde dan juara Afrika semasa, Ivory Coast, mahu menjarakkan kedudukan.

Afrika dijamin sembilan tempat ke Piala Dunia 48 pasukan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, dan jumlah itu boleh meningkat kepada 10 selepas pusingan play-off antara benua pada Mac tahun depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top