am@hmetro.com.my
Cyberjaya: Promosi pantai Bagan Lalang sebagai lokasi pelancongan terbaik di Selangor selain meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Itu antara matlamat penganjuran Pesta Pantai Bagan Lalang @ Sepang 2025 (PPBL 2025) yang disertai pelbagai pengisian menarik sempena Tahun Melawat Selangor 2025 sekaligus menjadikan negeri ini salah satu destinasi pelancongan utama negara.
Yang di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dr Ani Ahmad berkata, program dwitahunan yang akan berlangsung pada 20 hingga 21 September ini bukan sekadar pesta hiburan atau promosi makanan, sebaliknya usaha menyokong sektor pelancongan selain mengetengahkan tarikan menarik di daerah berkenaan.
Menurutnya, penganjuran itu juga dapat menghidupkan suasana kampung selain meningkatkan hospitaliti setempat termasuk inap desa, rumah rakit dan aktiviti menyusuri Sungai Sepang menikmati keindahan hutan paya bakau.
Katanya, sebanyak 27 acara menarik disediakan antaranya aktiviti sukan, kebudayaan, makanan, persembahan artis, sukan rakyat, Jualan Ehsan Rakyat serta pelbagai aktiviti hiburan untuk seisi keluarga.
“PPBL 2025 anjuran MPSepang bukan sahaja memberi hiburan, malah membuka peluang ekonomi besar kepada penduduk tempatan,” katanya.
PPBL 2025 yang memasuki edisi keenam itu berjaya menarik 13,555 pengunjung pada 2023 dan angka itu dijangka meningkat pada edisi kali ini.
Ani berkata, pada program sama MPSepang juga akan melancarkan projek Taman Kenderaan Rekreasi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, Pantai Bagan Lalang dipilih sebagai projek perintis dengan peruntukan RM500,000 membabitkan pembangunan kemudahan awam mengikut garis panduan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
“Ia adalah sebahagian inisiatif pembangunan kawasan hijau dan kemudahan landskap untuk riadah penduduk membabitkan pembinaan tandas, surau dan pejabat pengurusan MPSepang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




