Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi teguran luar biasa kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung serangan ke atas Hamas di Qatar.
Trump menegaskan serangan itu adalah keputusan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bukan datang daripada dirinya.
Katanya, beliau cuba menghentikan serangan Israel ke atas Doha tetapi usaha itu dibuat terlalu lewat.
“Ini adalah keputusan yang dibuat oleh Netanyahu, ia bukan keputusan saya. Saya melihat Qatar sebagai sekutu kuat dan sahabat kepada AS dan saya berasa sangat kesal dengan lokasi serangan itu,” katanya di Truth Social miliknya.
Namun, Trump tetap menyifatkan penghapusan Hamas sebagai satu matlamat yang berbaloi.
Serangan Israel ke atas Doha dianggap sensitif kerana Qatar menjadi perantara penting rundingan gencatan senjata Gaza dan menempatkan pangkalan udara besar AS.
Selain itu, Qatar baru-baru ini menghadiahkan jet mewah Boeing 747-8 kepada AS untuk digunakan Trump sebagai pesawat presiden, langkah yang menimbulkan persoalan etika.
Dalam pada itu, Trump juga berkata, Rumah Putih tidak dimaklumkan lebih awal mengenai serangan berkenaan.
Beliau menjelaskan, Duta Khas, Steve Witkoff, diarahkan memaklumkan kepada Qatar mengenai serangan itu tetapi panggilan dibuat terlalu lewat.
Susulan itu, Trump juga sudah bercakap dengan Netanyahu selepas kejadian dan percaya insiden malang itu boleh membuka peluang untuk keamanan.
Sementara itu, ketika Qatar membantah serangan berkenaan, Trump mengarahkan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio untuk memuktamadkan perjanjian kerjasama pertahanan dengan Doha.
Beliau turut memberi jaminan kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani bahawa perkara sama tidak akan berlaku lagi di tanah air mereka.
Qatar bagaimanapun menegaskan tidak menerima sebarang amaran lebih awal dan mengesahkan panggilan AS dibuat ketika letupan kedengaran di Doha.
© New Straits Times Press (M) Bhd




