Lans Koperal, Konstabel mengaku salah empat pertuduhan khalwat, didenda RM10,400

Lans Koperal, Konstabel mengaku salah empat pertuduhan khalwat, didenda RM10,400

am@hmetro.com.my

Kangar: Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel didenda RM10,400 selepas mengaku bersalah Mahkamah Tinggi Syariah Perlis, di sini hari ini atas empat pertuduhan berkhalwat di sebuah rumah di Arau dan Kangar pada Jun lalu.

Tertuduh, Muhamad Zulhafiz Hairo Azaman bersama pasangan, Nurul Amila Zamri yang masing-masing berusia 25 tahun didakwa mengikut Subseksyen 9 (1) dan 9(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 kerana berkhalwat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di sebuah rumah di Taman Muda Asas Pauh, Arau pada jam 12.01 tengah malam hingga 12.20 tengah malam pada 4 Jun lalu dan di sebuah lagi rumah di Taman Bunga Mawar, Kangar sekitar jam 12.20 pagi pada 21 Jun lalu.

Prosiding pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Syarie negeri, Dzuhaili Dzakwan dan Syed Najib Syed Alwi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dzuhaili dalam hujahannya meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh disebabkan tertuduh melakukan kesalahan berulang selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya menjauhi perbuatan khalwat ini.

Muhamad Zulhafiz dalam rayuan bersalahnya meminta mahkamah dapat mengurangkan hukuman dengan memberikan hukuman minima kepadanya disebabkan tertuduh masih keluarga dengan menyara adik beradiknya

Malah tertuduh turut merancang untuk bernikah selepas ini.

Dalam masa yang sama juga, Nurul Amila turut merayu kepada mahkamah supaya turut sama mengurangkan hukuman dengan kadar minimum dan ringan memandangkan tertuduh turut membantu keluarga dari segi kewangan.

Nurul Amila juga turut merancang untuk bernikah dengan pasangannya itu selepas ini.

Sejurus pengakuan bersalah mereka direkodkan, Hakim Mohamad Fauzi Ismail menjatuhkan masing-masing denda RM5,200 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top