hafizithnin@mediaprima.com.my
PERJALANAN penulis ke Pulau Tioman di Pahang baru-baru ini bukan sekadar untuk berehat sambil menikmati rasa tenang dengan panorama air laut yang indah di pulau itu. Malah, mencari aktiviti yang menarik untuk diterokai.
Jika sebelum ini, penulis ke pulau itu untuk aktiviti menyelam skuba, tetapi kali ini kawasan tanah tinggi menjadi pengisian utama. Apa lagi, jika bukan untuk menikmati keindahan Gunung Nenek Semungkut atau lebih dikenali sebagai Dragon Horn.
Gunung itu yang berdiri pada ketinggian sekitar 703 meter dari aras laut terletak di Kampung Mukut. Gunung itu begitu popular dengan aktiviti ekstrem, mendaki tembok batu.
Ia menjadi dambaan peminat aktiviti lasak itu kerana untuk berada di puncaknya menerusi aktiviti mendaki tembok batu bukan sesuatu yang mudah. Dalam kata lain, memerlukan kemahiran secara teknikal.
Penulis tidak mendaki gunung itu menerusi cara mendaki tembok batu. Namun, menggunakan jalan denai yang mempunyai cabaran tersendiri.
Dari resort yang penulis bermalam menuju kawasan permulaan pendakian adalah sejauh kira-kira 2.5 kilometer. Laluannya pula selain melalui tepi pantai, laluan denai dan kawasan jalan kecil bertar yang beralun menjadi hidangan.
Mujur ketika penulis berangkat ke kawasan permulaan pendakian, air pantai sudah surut, jadi tidak menjadi cabaran untuk melalui kawasan itu.
Usai 25 minit melalui pelbagai bentuk muka bumi ke kawasan permulaan pendakian, akhirnya penulis menemui penunjuk arah yang sedia menanti di Kampung Mukut.
Sebenarnya penulis bukan sahaja mengambil pakej mendaki sehingga ke ‘check point 10’ yang menawarkan pemandangan tinggi dari Gunung Nenek Semungkut, tetapi melakukan aktiviti ‘via feratta’ di lereng gunung itu.
Bayaran yang dikenakan untuk dua aktiviti itu, bagi penulis agak berbaloi dan kerana penunjuk arah perlu membawa pelbagai peralatan untuk aktiviti ‘via feratta’ antaranya abah-abah dan tali keselamatan.
Bagi aktiviti mendaki itu, pendaki tidak sampai ke puncak sebenar kerana laluan untuk ke puncak sebenar memerlukan aktiviti mendaki tembok batu yang lebih teknikal.
Tetapi, pendaki hanya sampai ke ‘check point 10’ iaitu kawasan paling tinggi untuk menikmati pemandangan mata burung di sekeliling gunung itu.
Sekitar jam 9 pagi, penulis memulakan pendakian ke gunung itu. Dari kawasan permulaan pendakian ke puncak sekitar tiga kilometer. Sepanjang laluan ke ‘check point 10’ penulis merasai pelbagai pengalaman melalui jalan denainya.
Antaranya perlu merentas sungai kecil dan sepanjang trek pendakian sememangnya mencanak. Namun, dari segi kejelasan trek boleh dipuji kerana jalur laluannya agak jelas.
Selain itu, penulis juga melalui laluan yang mempunyai batu besar seakan-akan gua yang membolehkan kita berlindung di bawahnya jika hujan. Pendaki yang mendaki gunung itu juga boleh mengira ‘jarak’ melalui papan tanda ‘check point’ yang sudah didirikan.
Sekitar sejam mendaki gunung berkenaan, penulis akhirnya tiba di ‘check point 10’. Pemandangan sebenarnya tidak begitu menyebelahi penulis kerana agak berkabus.
Kadangkala apabila kabus berlalu pergi dibawa angin dapat melihat kawasan di sekelilingnya dengan jelas dan ia amat memukau kerana ada pemandangan pantai, laut dan hutan.
Selepas 15 minit berehat, penunjuk arah mula memasang abah-abah kepada penulis untuk melakukan aktiviti ‘via ferrata’.
Penulis difahamkan laluan itu baharu sahaja dipasang pada awal tahun ini dan laluannya dibuat untuk mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan aktiviti berkenaan.
Di tepi lereng gunung itu diletakkan kabel untuk menyangkut tali keselamatan yang disambung dengan abah-abah dan penulis perlu memijak ‘tangga’ yang sudah disediakan.
Sebenarnya, pada hemat penulis jika hanya meneruskan aktiviti itu tanpa berhenti merakam gambar mungkin kurang 20 minit sahaja sehingga ke tempat pemijak terakhir.
Sebenarnya ketika tergantung di ketinggian sekitar 703 meter itu berbekalkan tali keselamatan, penulis rasa amat puas kerana dapat melakukan aktiviti itu dan melihat sendiri keindahan pokok di bawahnya.
Apabila kabus berlalu pergi dapat melihat puncak batu di sebelahnya dengan jelas.
Bagi penulis produk pelancongan ekstrem itu amat menarik bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak jika bertandang ke Pulau Tioman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




