Kantoi sengaja tak letak pemandu bas kedua

Kantoi sengaja tak letak pemandu bas kedua

am@hmetro.com.my

Melaka: Sengaja tidak meletakkan pemandu bas kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer selain gagal mengemukakan lesen pengendalian dan permit perkhidmatan bas ekspres.

Kesalahan serius itu dikesan ketika pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menerusi Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan semalam.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 (Akta 715), syarikat pengusaha bas ekspres wajib menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer atau empat jam berterusan.

Menurutnya, ia bagi memastikan pemandu bas mendapat rehat secukupnya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan terutama kemalangan maut.

“Pemandu bas warga tempatan berusia 54 tahun itu memberitahu dia membawa 26 warga Singapura untuk ke Genting Highlands.

“Tiada pemandu kedua disediakan dan dia akan berhenti tiga kali sepanjang perjalanan untuk berehat. Selain itu dia juga gagal mengemukakan lesen pengendali dan permit perkhidmatan bas ekspres apabila diminta.

“Jadi kita keluarkan notis temu siasat mengikut Seksyen 224 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kepada pemilik bas untuk hadir ke JPJ Melaka,” katanya pada sidang media selepas mengetuai pemeriksaan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini, semalam.

Menurutnya, dalam operasi bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari itu, 50 kenderaan diperiksa.

“Kita kesan 15 kesalahan dan 21 notis dikeluarkan atas kesalahan termasuk gagal kemuka lesen pengendali, permit kenderaan dan permit perkhidmatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top