Bincang kemasukan jemaah luar tunai haji – Utusan Digital

JEDDAH: Arab Saudi masih melakukan perbincangan berhubung kebenaran kepada pengunjung luar negara menunaikan ibadah Haji di Arab Saudi yang dijangka bermula 17 Julai, tahun ini.  

Arab News melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah memaklumkan, kebenaran terhadap bilangan kecil jemaah memasuki negara itu dengan kawalan kesihatan ketat dan langkah pencegahan turut dalam peringkat perbincangan. 

Jelasnya, keputusan adalah berdasarkan kesungguhan berterusan negara itu bagi membenarkan pelawat ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. 

Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi masih melakukan penelitian terhadap kebenaran itu dan maklumat lanjut akan ditentukan oleh kawalan dan piawaian kesihatan Covid-19. 

Tahun lalu, seramai 1,000 jemaah di seluruh negara itu berpeluang menunaikan haji mengikut garis panduan kesihatan ditetapkan seperti penjarakan fizikal dan kehadiran pasukan perubatan. 

Bagi memastikan kawalan kesihatan dan keselamatan penduduk, hampir separuh juta pemantauan dijalankan untuk memastikan langkah pencegahan dilakukan di semua kedai dan tempat kerja. 

Sementara itu, penduduk di Arab Saudi digesa mematuhi kawalan keselamatan Covid-19 semasa cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan penularan jangkitan. 

Scroll to Top