am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang remaja berusia 18 tahun adalah antara lima individu yang ditahan polis hasil beberapa siri serbuan di Banting, Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan Kuala Lumpur kerana memiliki dadah bernilai keseluruhan RM16.7 juta.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam serbuan pertama, anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menahan seorang lelaki tempatan yang sedang menarik bagasi di terminal KLIA2 pada jam 5.10 pagi, Selasa lalu.
Katanya, remaja lelaki berusia 18 tahun itu dipercayai bertindak sebagai `transporter’ (penghantar) dan sedang menunggu penerbangan ke Miri, Sarawak.
“Pemeriksaan dalam bagasi dibawa menemui lima bungkusan plastik berisi dadah syabu seberat 4.5 kilogram (4,501 gram)
“Susulan daripada tangkapan itu, dua lelaki tempatan ditahan di sekitar Kuala Lumpur pada jam 1.10 petang, semalam.
“Polis turut merampas 89 bungkusan plastik berisi bahan disyaki syabu seberat 86.795 kilogram dan satu tong putih berisi bahan cecair dadah seberat 5.85 kilogram. Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM3.1 juta.
“Hasil siasatan dijalankan, polis percaya dua suspek terakhir yang ditangkap itu adalah pembekal dadah kepada saspek pertama yang ditahan di lapangan terbang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, tadi.
Beliau berkata, suspek remaja itu dipercayai dibayar upah RM1,000 bagi setiap penghantaran dadah dilakukan manakala dua lagi suspek dipercayai bertindak membekalkan dadah untuk dihantar ke Miri, Sarawak.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah manakala dua lagi tiada rekod lampau.
“Saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek juga negatif dari sebarang dadah,” katanya.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Selangor menahan dua lelaki tempatan berusia 42 hingga 47 tahun ditahan ketika menaiki kereta mewah di persimpangan lampu isyarat di sekitar Banting kira-kira jam 3.45 petang, Selasa lalu.
Shazeli berkata, hasil pemeriksaan, polis merampas 30 bungkus dadah ekstasi seberat 61.76 kilogram dan tiga bungkusan dadah jenis erimin 5 dengan anggaran berat 9.85 kilogram yang dijumpai di ruangan tempat duduk belakang kereta.
“Nilai rampasan bagi kes ini adalah RM13.6 juta. Polis percaya ketika ditahan, kedua-dua suspek berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan dadah yang dibawa adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
“Semakan lanjut mendapati suspek pertama berusia 47 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kontraktor binaan mempunyai 18 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah manakala suspek kedua memiliki 22 rekod lampau berkait jenayah dan dadah. Saringan awal air kencing mendapati, suspek kedua positif dadah,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd




