Pearly-Thinaah mara, Man-Tee kandas

Pearly-Thinaah mara, Man-Tee kandas

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan- M Thinaah berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan wakil Indonesia untuk menempah tiket ke suku akhir Terbuka Hong, hari ini.

Pada aksi pusingan kedua di Hong Kong Coliseum, Pearly-Thinaah turun selaku pilihan kedua kejohanan berjaya menepati ramalan untuk menewaskan Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari straight set 21-18, 21-17 dalam masa 37 minit.

Meskipun mencapai kemenangan, Pearly melihat masih ada beberapa aspek yang harus diberikan perhatian agar kesilapan sama tidak berulang dalam perlawanan seterusnya.

“Saya rasa pergerakan kami agak perlahan, terutama saya. Saya harap dapat mengatasinya nanti,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Selain itu, Pearly menyatakan biarpun mereka hadir selaku juara bertahan, tetapi dia dan Thinaah tidak mahu melihat itu sebagai satu tekanan sebaliknya akan memberi fokus dalam setiap perlawanan.

“Saya rasa seperti biasa kami tidak terlalu mahu meletak sasaran kepada diri sendiri dan fokus kepada gaya permainan sendiri dan konsisten itu penting,” katanya.

Untuk pusingan 16 terbaik esok, naib juara Kejohanan Dunia itu akan bertemu rakan senegara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing apabila mereka turut mara selepas mengalahkan beregu Taiwan, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan 21-19, 21-18 dalam tempoh 41 minit.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara terus gagal menjelmakan persembahan cemerlang apabila satu lagi pasangan pilihan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tersingkir di pusingan kedua apabila tewas di tangan gandingan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 17-21, 21-11, 15-21.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top