harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan elit, Unit Tindak Khas (UTK) dan Komando 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengungguli Ujian Rentas Halangan Jabatan Ketenteraman Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) 2025.
Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, program itu disertai seramai 540 pegawai dan anggota dari pelbagai unit di bawah KDNKA.
Menurutnya, antaranya Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Udara (PGU), dan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Objektif kita adalah untuk melatih ketahanan fizikal setiap pegawai dan anggota, dari satu point peserta akan melalui pelbagai halangan, semua perlu dilepas dan diakhiri dengan menembak.
“Untuk pertandingan ini, kita nak latih macam mana mereka mengurus tekanan waktu penugasan, kalau dapat lalui masa latihan, automatik masa penugasan dia boleh hadapi,” katanya pada sidang media di Markas Briged Tengah, di sini, hari ini.
Menurutnya, penugasan unit di bawah seliaannya banyak beroperasi di sempadan dengan lanskap mencabar.
Katanya, ujian rentas halangan itu dicipta merangkumi jarak hampir dua kilometer merangkumi 14 halangan yang perlu ditempuh dalam keadaan permukaan berbukit.
Mohamad Suzrin berkata, pasukan elit PDRM Komando 69 dan UTK berjaya melengkapkan semua halangan dengan masa bawah lapan minit manakala unit lain tidak jauh ketinggalan membuktikan tahap kecergasan tertinggi anggota serta pegawai.
Katanya, empat pasukan terbaik bagi acara berpasukan adalah Komando 69, UTK, Batalion (Bn) 5 dan wakil Briged Sabah iaitu Bn 21 PGA.
Acara individu pula diungguli peserta dari UTK, dua dari Komando 69 dan tempat ketiga dari PGA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




