SFC beri sokongan penuh Faisal selesai kemelut rumah tangga

SFC beri sokongan penuh Faisal selesai kemelut rumah tangga

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu rumah tangga membabitkan bintang bola sepak negara, Faisal Halim dilihat tidak akan mengganggu fokus dan tumpuan pemain sayap itu yang sentiasa meletakkan sikap profesionalisme di tahap tertinggi.

Perkara itu diluahkan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon yang mengakui komitmen Faisal tetap sama biarpun sedang dilanda badai berhubung isu permohonan cerai oleh isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril.

Bagaimanapun, jelas Johan, pihak pengurusan SFC tetap akan membantu pemain sayap lincah itu sekiranya dia memerlukan rehat bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya itu.

Ujarnya, SFC sentiasa berdiri teguh di belakang Faisal dan menyokongnya dalam menghadapi saat getir ini.

“Kita tahu beliau seorang pemain yang profesional, kita semua tahu bagaimana kuatnya beliau, berapa kali beliau jatuh dan bangkit kembali.

“Jadi, saya rasa beliau akan melalui perkara ini dengan baik dan beliau akan sentiasa buat keputusan baik untuk diri dan keluarga beliau.

“Bagi kita, kita akan bagi sokongan penuh. Saya percaya Coach Kino (Katsuhito Kinoshi) akan beri sokongan penuh. Jadi, apa saja keputusan Faisal Halim, kita akan sokong,” katanya pada majlis kerjasama antara SFC dan Al Kauthar Eduqids, semalam.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Nur Syazwani memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Klang, selepas enam tahun mendirikan rumah tangga bersama Faisal.

Pasangan itu berkahwin pada 9 Mac 2019 lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali hingga memaksa dia menjalani beberapa kali pembedahan termasuk pembedahan ‘split skin grafting’ (SSG).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top