Desas-desus mengenai hubungan istimewa antara pempengaruh terkenal, Cik Epal dan seorang lelaki bernama Ammar kembali menjadi perbualan hangat netizen.
Khabar angin mengatakan pasangan tersebut bakal melangkah ke alam perkahwinan tidak lama lagi mula diperkatakan, malah ada yang mendakwa mereka sudah pun memulakan persiapan untuk meraikan hari bahagia.
Baru-baru ini, perhatian tertumpu kepada sebuah video tular yang memperlihatkan pemenang trofi Selebriti Trending Terhangat Anugerah Melodi Terhangat 2025 itu sedang meninjau pilihan baju Melayu untuk pembawa dulang hantaran pihak lelaki.
Ketika itu, Cik Epal turut disapa oleh Pengurus Pemasaran Jakel, Muzaffar Jakel.
“Betul ke ni? Astaghfirullahalazim. Berapa dulang ‘boy’? Tujuh?” soal Muzaffar.

Pertanyaan tersebut diakui sendiri oleh Cik Epal yang menjelaskan:
“Hanya nak buat untuk dulang ‘boys’,” katanya.
Muzaffar kemudian memaklumkan pihaknya kini sedang menjalankan jualan murah yang nyata menarik perhatian Cik Epal.
“Memang murah sangat ni kalau nak belikan untuk dulang ’boys’,” kata Cik Epal.
Sebelum ini juga, muncul spekulasi bahawa mereka berdua sudah mula membuat persiapan menjelang detik istimewa itu.
Namun, sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan daripada Cik Epal dan Ammar.
Untuk rekod, Cik Epal pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Jofliam pada 1 Jun 2014.
Mereka bercerai pada Oktober tahun lalu dan hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Han dan Yuki.




