Penganggur simpan rokok seludup dalam MPV dicekup

Penganggur simpan rokok seludup dalam MPV dicekup

am@hmetro.com.my

Arau: Polis menahan penganggur selepas menemukan pelbagai jenis rokok disyaki diseludup bernilai kira-kira RM270,000 dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Rambai, Padang Siding, Pauh, di sini, Rabu lalu.

Dalam operasi sekitar jam 10.30 pagi, suspek lelaki berusia 37 tahun itu ditahan ketika berada dalam Naza Ria yang digunakan bagi menyimpan rokok tidak bercukai.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, operasi diketuai Inspektor Fadzil Ali bersama lapan anggota menyerbu sebuah rumah sebelum ternampak suspek berada dalam MPV itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 12 kotak mengandungi 72 karton rokok dipercayai diseludup yang disimpan di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan terbabit.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM270,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek memiliki enam rekod lampau termasuk kes dadah dan saringan ujian air kencing juga didapati positif methamphetamine.

“Suspek direman sehingga 14 September ini untuk membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top