am@hmetro.com.my
Seremban: Bapa dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas di dalam kereta dekat selepas Sungai Linggi, Tanjung Agas di Port Dickson, awal September lalu teresak-esak merayu kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini supaya dibenarkan jaminan untuk melawat kubur anak-anaknya.
Terdahulu, tertuduh, Abdul Rahman Mahmud, 46, yang tidak diwakili sebelum itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin atas pertuduhan menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin boleh membawa kematian terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam dan lapan tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11.45 pagi di muara Sungai Linggi, Tanjung Agas pada 4 September lalu.
Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan juga boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaan Raya M Pusppa tidak menawarkan jaminan kerana ada kemungkinan tertuduh menghilangkan diri dan ini akan menyukarkan kes pendakwaan.
Puspa turut memohon tarikh sebutan baharu untuk laporan forensik, kimia dan Puspakom.
Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah supaya dia dibenarkan dijamin bagi membolehkannya melawat kubur dua anaknya.
“Saya merayu sejak anak meninggal saya tidak dapat melawat kubur mereka. Saya cuma berharap diberi jaminan, itu sudah memadai,” katanya yang kelihatan menangis dan sebak.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh tidak dibenarkan jaminan dan kes akan disebut semula pada 10 November depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sebelum ini, media melaporkan dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa dan seorang wanita terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Difahamkan ketika kejadian, kereta itu diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan, sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.
© New Straits Times Press (M) Bhd



