Kuala Lumpur: Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal, mengumumkan dirinya kini hamil anak kedua selepas sekian lama peminat berteka-teki mengenai perkara itu.
Khabar gembira itu dikongsikan penyanyi berusia 24 tahun itu menerusi hantaran terbaharu di Instagram, semalam.
“Alhamdulillah, kami simpan rahsia indah ini sepanjang tahun. Jadi, cuba bagi tahu saya, kalian ‘team Mini Shizuka’ (anak perempuan) atau ‘Mini Nobita’ (anak lelaki) 2.0,” tulisnya.
Bagaimanapun, Syasya mengakui terkejut apabila ada pihak menyangka dia bakal menimang cahaya mata kembar sepasang selepas memuat naik video meletupkan konfeti berwarna merah jambu dan biru.
Katanya, dia dan suami sebenarnya belum mengetahui jantina bayi berkenaan dan video itu hanya dibuat sekadar untuk gambaran.
“Terkejut juga baca komen ramai ingat anak kembar. Rupanya itu cara ibu bapa buat ‘gender reveal’ anak kembar.
“Sebenarnya, kami letupkan kedua-dua warna sebab memang belum tahu jantina anak lagi. Video ultrasound itu pun dari Google sahaja, bukan yang sebenar,” tulisnya.
Dalam masa sama, Syasya turut merakamkan penghargaan buat semua pihak yang menitipkan doa untuk dirinya dan kandungan.
“Masya-Allah, Tabarakallah. Terima kasih kepada anda semua yang menitipkan doa yang baik-baik. Insha-Allah mungkin rezeki kalian selepas ini pula,” katanya.
Syasya mendirikan rumah tangga bersama Nasrullah Mohd Sapie pada 20 April 2024.
Pasangan itu sebelum ini dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Yassir Hayyan, yang dilahirkan pada 23 Disember tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




