am@hmetro.com.my
Alor Setar: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menyifatkan caj tapak parkir sehingga RM400 yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai tidak munasabah dan membebankan penjaja kecil.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, caj berkenaan yang difahamkan dikenakan Majlis Daerah Baling (MDB) tidak wajar kerana penjaja kecil hanya berniaga barangan murah untuk rakyat.
“Caj tapak parkir sahaja sebanyak RM400 untuk beberapa jam adalah satu caj yang melampau. Apa yang disuarakan adik Faiz ini adalah satu suara yang patut kita dengar.
“Nak kenakan sewa tapak biarlah munasabah. Penjaja kecil ini berniaga barangan murah, tapi kalau harga tapak sama atau melebihi pasar raya, bagaimana mereka nak jual dengan harga rendah? Ini seolah-olah mahu melingkupkan perniagaan kecil-kecilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, caj itu juga didakwa lebih tinggi berbanding PBT lain, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa kadar begitu tinggi dikenakan di Baling.
“Kita harap perkara ini disiasat pihak berkuasa. Caj seperti ini terlalu cekik darah,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila usahawan tempatan, Faiz Aizif, mendakwa dikenakan caj RM400 hanya untuk satu petak parkir di daerah berkenaan.
Isu itu kemudian mendapat perhatian usahawan dan pempengaruh media sosial, Khalieda Yusra atau Kieda, yang tampil mendakwa dirinya serta pasukan perniagaan turut berdepan layanan sama.
Dalam satu video dimuat naik di Instagram miliknya, Kieda berkongsi pengalaman apabila pasukannya diarah mengosongkan tapak meskipun ketika itu kanopi, makanan dan minuman sudah siap dipasang serta pelanggan mula beratur.
Difahamkan kadar sewa tapak di daerah lain jauh lebih murah hanya sekitar RM60 hingga RM140.
© New Straits Times Press (M) Bhd



