'Berjalan bukan mahu seronok, tetapi tuntutan kerja' – PM Anwar

'Berjalan bukan mahu seronok, tetapi tuntutan kerja' – PM Anwar

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau kerap ke luar negara atas dasar tuntutan kerja selain memenuhi jemputan yang dibuat kepimpinan negara antarabangsa.

“Orang kritik kata saya banyak ‘berjalan’, ingat saya pergi senang-senang ke, ingat saya pergi bercuti ‘happy’ ke, saya pergi disebabkan kerja.

“Sebagai Perdana Menteri saya banyak ‘berjalan’ kerana dijemput disebabkan kita ada suara, kita negara yang bebas dan merdeka, apa guna merdeka jika tidak berani bercakap.

“Saya terima pesanan daripada Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, esok saya akan ke Doha bagi membincangkan serangan berterusan Zionis Israel terhadap penduduk Palestin,” katanya ketika berucap pada program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap rakyat negara ini memahami pendirian kerajaan Persekutuan yang berterusan menyampaikan sumbangan kepada negara antarabangsa yang berdepan bencana dan krisis kemanusiaan.

“Saya tidak faham apabila orang cakap Anwar asyik bantu Gaza, kita ini manusia, ada masa kemungkinan kita pula yang perlukan bantuan antarabangsa. Pakistan dilanda banjir, Myanmar gempa bumi, walaupun kita tak setuju politik di sana tetapi kita bantu kerana ada orang mati, ada orang sakit.

“Rakyat susah juga kita kena ambil tahu, sekarang kerajaan banyak beri bantuan kepada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, angka sebenarnya jauh lebih tinggi peruntukan kita bagi berbanding semasa dia (pembangkang) perintah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyatakan kepentingan untuk rakyat Malaysia berbilang kaum mempelajari dan menguasai penggunaan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi dan kebangsaan di negara ini.

“Kita semua kena pandai Bahasa Melayu, sebab kita duduk di Malaysia tetapi ada anak-anak kita kurang pandai Bahasa Melayu, jangan begitu. Tetapi pada masa sama Bahasa Inggeris juga penting, begitu juga bahasa lain seperti Mandarin, Tamil dan juga Arab.

“Contoh sekiranya orang Cina mahir Bahasa Melayu dan Inggeris, kan bagus jika pandai pelbagai bahasa.

“Itu juga yang diperjuangkan PKR, kita adalah satu-satunya parti politik yang mana semua kaum di Malaysia dirai sebagai sebuah keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top