Tentera maut, seorang lagi hilang: Kes membabitkan lemas, punca sebenar masih disiasat

Tentera maut, seorang lagi hilang: Kes membabitkan lemas, punca sebenar masih disiasat

am@hmetro.com.my

Semporna: Punca kejadian yang mengorbankan seorang anggota tentera manakala seorang lagi masih hilang ketika melaksanakan Operasi PASIR di Pulau Mataking, di sini, semalam, masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abd Rani berkata, berdasarkan maklumat awal, insiden dipercayai berpunca daripada kejadian lemas, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

“Usaha mencari anggota yang masih hilang sedang giat dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian jam 6 petang itu, dua anggota daripada Kompeni C, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dilaporkan tidak hadir ketika pemeriksaan rutin kehadiran dilakukan.

Berikutan itu pencarian segera digerakkan di lokasi termasuk bantuan bot dari resort berhampiran sebelum salah seorang anggota ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan pantai pulau berkenaan pada jam 7.25 malam.

Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, disahkan meninggal dunia manakala Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, masih belum ditemui sehingga kini.

Berita berkaitan:

MINDEF sahkan seorang anggota ditemukan lemas, seorang masih hilang

Anggota tentera maut, seorang lagi hilang di Pulau Mataking

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top