Apabila penjaga gol Cameroon, Andre Onana disahkan menyertai kelab Turkiye, Trabzonspor, secara pinjaman, ia melengkapkan proses ‘pembersihan’ dilakukan pengurus, Ruben Amorim di Manchester United.
Selepas jendela perpindahan pemain ditutup pada 1 September lalu, secara keseluruhan, sembilan pemain senior yang tiada dalam perancangan Amorim, dilepaskan.
Mereka adalah Marcus Rashford yang menyertai Barcelona secara pinjaman diikuti Alejandro Garnacho ke Chelsea secara tetap.
Antony melengkapkan perpindahan kekal ke Real Betis, manakala Rasmus Hojlund ke Napoli dan Jadon Sancho menyertai Aston Villa.
Sebelum itu, tiga pemain senior dilepaskan kerana tamat kontrak iaitu Christian Eriksen, Jonny Evans dan Victor Lindelof dengan Lindelof kini menyertai Aston Villa dan Eriksen bersama Wolfsburg.
Siapa sangka, dua daripada trio pemain muda yang pernah dicanang sebagai bintang masa depan United iaitu Garnacho dan Hojlund sudah meninggalkan kelab itu dan hanya tinggal Kobbie Mainoo, yang turut mahu dipinjamkan ke kelab lain jika gagal mendapat minit permainan di Old Trafford.
Dalam proses pembentukan pula, Amorim membawa masuk trio ‘mesin gol’ di kelab masing-masing musim lalu iaitu Benjamin Sesko, Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo.
Penjaga gol muda Belgium, Senne Lammens turut menyertai United untuk bersama Altay Bayindir dan Tom Heaton.
Amorim dilantik pada pertengahan musim lalu dan mudah difahami, dia perlu melepaskan pemain yang tidak diingini di samping menambah pemain secocok dengan percaturannya.
Namun, dalam kunjungan ke Stadium Etihad untuk menentang Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini, Amorim perlu berani membuat keputusan menurunkan Sesko dalam kesebelasan utama.
Apatah lagi, Cunha yang sebelum ini diletakkan sebagai penyerang tunggal kini tersisih akibat kecederaan hamstring.
Tindakan Amorim memasukkan Sesko pada pertengahan perlawanan sebelum itu menyebabkan penyerang Slovenia itu seolah-olah memerlukan masa lebih lama untuk serasi dengan gaya permainan pasukan serta EPL.
Sedangkan penyerang kelab lain yang baru dibeli seperti Viktor Gyokeres (Arsenal) dan Hugo Ekitike (Liverpool) sudah mula menjaringkan gol.
United banyak mencipta peluang dalam tiga aksi EPL sebelum ini menentang Arsenal (tewas 0-1), Fulham (seri 1-1) serta menang 3-2 ke atas Burnley.
Seandainya jumlah peluang dicipta itu mampu diterjemahkan kepada jaringan, tidak mustahil United muncul pemenang ke atas City pada Manchester derbi malam ini.
Tambahan pula City pincang dengan deretan pemain yang cedera termasuk Omar Marmoush, Mathis Cherki, Mateo Kovacic, Rayan Ait-Nouri, Josko Gvardiol serta John Stones.
Inilah peluang terbaik Amorim meraih tiga mata ke atas ‘jiran yang bising itu’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




