Vingegaard hampiri gelaran Vuelta

Vingegaard hampiri gelaran Vuelta

Guadarrama, Sepanyol: Jonas Vingegaard hampir pasti menjulang gelaran keseluruhan Vuelta a Espana selepas menawan peringkat ke-20 secara solo, sekali gus melebarkan kelebihan masa keseluruhan ke atas Joao Almeida dengan lebih seminit, awal pagi tadi.

Pelumba Britain, Tom Pidcock, mengekalkan kedudukan ketiga keseluruhan untuk menamatkan jelajah Grand Tour pertama dalam kariernya di podium.

Juara berganda Tour de France itu meninggalkan Almeida di pendakian mencabar Bola del Mundo, sebelum menuju ke garisan penamat.

Pelumba pasukan Visma-Lease a Bike dari Denmark itu pernah menjuarai Tour de France pada 2022 dan 2023 serta menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Tadej Pogacar dalam dua edisi terkini.

Pelumba yang memiliki susuk bertubuh kecil itu turut memenangi tiga peringkat sepanjang edisi kali ini dan cukup gembira dengan prestasi ditunjukkan.

“Saya mahu menang di Bilbao, saya mahu menang di Angliru, tetapi Bola del Mundo juga sangat istimewa. Hari ini saya rasa lebih baik berbanding pendakian sebelum ini… saya sangat gembira dengan pencapaian hari ini dan apa yang pasukan capai sepanjang tiga minggu lalu,” katanya.

Edisi tahun ini banyak diganggu dengan protes pro-Palestin yang membantah kehadiran pasukan Israel-Premier Tech, dan peringkat ke-20 juga tidak terkecuali.

Namun, penganjur berjaya meneruskan perlumbaan hingga ke garisan penamat di salah satu pendakian paling sukar edisi ini, sekali gus menyediakan pentas dramatik untuk perebutan terakhir antara pelumba utama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top