am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Sempadan Malaysia -Thailand di sini sesak berikutan ramai pelancong hendak memasuki negara jiran sempena cuti persekolahan.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesesakan itu sejak semalam dan dijangka berterusan sehingga 21 September ini.
“Kesesakan di laluan keluar kenderaan persendirian (kereta) di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini.
“Keadaan ini berpunca daripada kenderaan yang ke negara jiran Thailand, khususnya sempena musim cuti persekolahan dan sambutan cuti umum Hari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata, tindakan kawalan diambil untuk mengalami masalah ini adalah dengan pengaktifan pegawai bertugas untuk mengawal aliran trafik di kawasan ICQS.
Beliau berkata, selain itu, arahan diberikan kepada sekatan jalan raya (SJR) Pasukan Gerakan Am (PGA), polis trafik dan semua agensi terbabit di ICQS supaya mengawal aliran kemasukan kenderaan dari arah sempadan kerana pintu masuk dibuka seawal 6 pagi dan ditutup pada 12 tengah malam.
“Pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan di lapangan bagi memastikan keadaan keseluruhan adalah terkawal.
“Selain itu, AKPS menasihatkan kepada semua pengembara yang melalui ICQS Bukit Kayu Hitam supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua penguat kuasa di lapangan dan merancang perjalanan sebaiknya.
“Selain itu, mereka perlu memahami bahawa kesesakan ini berpunca daripada faktor luaran, iaitu jumlah kenderaan luar biasa dari Malaysia ke negara jiran Thailand yang berada di luar kawalan AKPS,” katanya.
Mohd Nasaruddin berkata, pengembara juga perlu menyusun perjalanan lebih awal dan mengambil kira tempoh menunggu serta mematuhi arahan penguat kuasa untuk keselamatan dan kelancaran semua pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




