am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Penyanyi Eda Ezrin, 30, tidak menyangka lagu duetnya bersama Den Manjo berjudul Cinta Setandan Pisang dinobatkan sebagai Lagu Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 yang berlangsung di Genting Highlands, malam tadi.
Eda Ezrin atau pemilik nama sebenar Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, berkata dia sudah bersyukur apabila lagu itu berjaya tersenarai dalam lima calon teratas bagi kategori berkenaan.
“Saya terharu dan pada masa sama gembira kerana ‘Cinta Setandan Pisang’ memenangi tempat pertama.
“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap lagu itu kerana saingan dalam kategori tersebut sangat kuat.
“Bagaimanapun, saya amat bersyukur atas kemenangan ini,” katanya kepada wartawan ketika ditemui pada majlis kesyukuran di rumahnya malam tadi.
Eda Ezrin berkata, dia akan meneruskan kerjaya nyanyiannya walaupun berdepan banyak cabaran.
“Sudah tentu ada cabaran dalam meneruskan perjalanan ini terutamanya selepas apa yang berlaku kepada saya tetapi saya menerimanya dengan hati terbuka.
“Saya berharap peminat akan terus menyokong saya,” katanya sambil menambah bahawa dia tidak dapat menghadiri acara malam tadi kerana majlis kenduri di rumahnya.
Pada AIM24, lagu Bae Soba Bae atau tajuk asalnya Cinta Setandan Pisang, ciptaan Eddie Hamid, mengatasi saingan sengit lagu Menyantun Kasih dipopularkan Siti Nordiana, Magis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Kalam (Shiha Zikir) dan Oh Huminodun (Elica Paujin).
Kemenangan yang menonjolkan dialek Kelantan dalam liriknya itu, disertakan dengan hadiah wang tunai RM50,000 melalui Dana Kandungan Digital (DKD).
Sebelum ini, Eda Ezrin bersama suaminya Mohd Affendi Ahmad dan empat yang lain ditahan atas pertuduhan memiliki dengan niat untuk mengedar dan menggunakan dadah selepas pihak berkuasa merampas 6,059 pil methamphetamine atau yaba dalam serbuan di sebuah hotel dekat Sungai Golok, Narathiwat, Selatan Thailand pada November tahun lalu.
Pada 6 Mac tahun lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin dan rakan defendannya daripada pertuduhan pemilikan dadah yang lebih serius.
Bagaimanapun, mereka didapati bersalah kerana menggunakan dadah. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000 baht Thai (kira-kira RM526) setiap seorang. Tetapi oleh sebab mereka telah menjalani hukuman lebih empat bulan dalam tahanan dan menunjukkan tingkah laku yang baik, hukuman berkenaan ditarik balik.
Walaupun dibebaskan, pendakwa raya Thailand meneruskan beberapa rayuan dan diberi beberapa kali lanjutan tahanan sehingga lima kali, berlanjutan dari Mac hingga awal Ogos.
Pada 6 Ogos, rayuan itu digugurkan kerana kekurangan bukti, dan Eda Ezrin, suaminya dan yang lain dibebaskan selepas lebih sembilan bulan dalam tahanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




