am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Hampir empat jam diperlukan pelancong Malaysia untuk menempuh kesesakan jalan dan proses di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini sebelum masuk ke Thailand untuk bercuti hari ini.
Kesesakan didapati berlaku sejauh 1.5 kilometer dari pintu sempadan negara yang dibuka pada jam 6 pagi disebabkan orang ramai mengambil kesempatan untuk bercuti di Thailand sempena cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia.
Pelancong dari Perak, Salehudin Abdul Aziz berkata, dia terpaksa menempuh kesesakan hampir empat jam berhampiran Kompleks Darul Qiyam ke Kompleks ICQS, di sini.
Katanya, dia dan keluarganya bercadang masuk awal melancong ke Hatyai, Thailand bersama ahli keluarganya kira-kira jam 7 pagi tadi tetapi tersangkut dalam kesesakan.
“Kami pada awalnya bercadang mahu sarapan atau makan tengah hari di sana (Thailand) tetapi apabila berlaku kesesakan macam ni, kami makan apa yang ada dalam kereta.
“Saya datang ke sini dengan dua lagi kereta namun urusan di kaunter Jabatan Imigresen agak cepat selepas terperangkap lama dalam kesesakan jalan.
“Oleh kerana tempahan hotel di Hatyai sudah dibuat awal, kami tiada pilihan melainkan terpaksa tempuh kesesakan dengan sabar,” katanya.
Ramlah Ismail, 40, berkata, dia seronok kerana dapat berpeluang bercuti ke Thailand hari ini walaupun terpaksa menempuh kesesakan yang panjang.
Katanya, dengan keadaan panas dan hanya duduk dalam kereta hampir empat jam, dia lega apabila memasuki sempadan selepas empat jam.
“Lepas urusan di kaunter imigresen Malaysia, kami perlu lalui kesesakan untuk menunggu giliran di kaunter imigresen di negara jiran pula. Kali ini orang memang ramai,” katanya yang berasal dari Selangor.
Menurutnya, dia bertolak dari Selangor semalam dan bermalam di hotel Jitra bersama keluarga sebelum bertolak ke Bukit Kayu Hitam pada jam 9 pagi tadi.
“Pengalaman ke Thailand agak ‘pahit’ sebab kami terpaksa menempuh kesesakan yang agak lama. Kami selesai cop pasport pun pada jam 1 petang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Sempadan Malaysia-Thailand di sini menjadi sesak berikutan ramai pelancong hendak memasuki negara jiran sempena cuti persekolahan ini.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesesakan itu berlaku sejak semalam dijangka berterusan sehingga 21 September ini.
Mohd Nasaruddin berkata, jumlah keseluruhan pelancong yang keluar masuk dari Malaysia dan Thailand, sejak semalam, adalah 21,971 orang.
“Jumlah itu membabitkan 17,030 pelancong dari Malaysia ke Thailand, manakala yang masuk dari Thailand ke negara ini adalah seramai 4,941 orang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




