redzuan.muharam@hmetro.com.my
Labuan: Tidak pernah ada sedikit pun perasaan malu dalam diri pemuda ini hanya kerana adik bongsunya yang dilahirkan sebagai anak istimewa.
Sebaliknya, Hasrul Mise, 25, dari Kampung Ganggarak , di sini terlalu menyayangi Nor Ain Mise, 21, yang disahkan sindrom down sejak lahir.
Kasih sayang Hasrul terhadap adiknya itu dapat dilihat menerusi perkongsian video di yang menunjukkannya melayan Nor Ain dengan membawa adiknya berjalan menaiki kereta serta makan bersama.
Berkongsi kisahnya, Hasrul yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah hotel berkata, Nor Ain bukan hanya ada tempat yang istimewa di hatinya namun seluruh ahli keluarganya.
Disebabkan itu, dia melayan dan akan cuba menuruti kehendak Nor Ain selagi berkemampuan.
“Ikutkan, emak dan ayah tidak tahu adik berstatus orang kurang upaya (OKU) sehingga diberitahu doktor.
“Tapi kami sekeluarga terima saja adik seadanya kerana sejak hadirnya dia, rezeki kami melimpah ruah.
“Saya sayangkan adik dan menumpang juga rezeki yang Allah SWT beri kepadanya kerana pernah bawa adik makan tapi ada orang bayarkan sebelum sempat buat pembayaran,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Meskipun ada kerja hakiki, Hasrul mengakui akan membawa Nor Ain berjalan setiap kali ada waktu terluang.
“Ikutkan, kami adik beradik memang rapat dan semua melayan adik cuma ada yang sudah berkahwin.
“Saya pula belum (berkahwin) dan tinggal bersama jadi ada lebih masa melayan adik. Bila hari cuti saja, adik mesti mahu bawanya berjalan dan jika tidak, dia boleh boleh ‘bad mood’.
“Setakat ini, tak ada yang pandang sini tapi rata-ratanya jumpa dan senyum bila tengok saya layan adik. Saya pun sudah faham karakter adik kerana umurnya saja 21 tahun tapi sikap dan pemikirannya masih macam budak-budak,” katanya.
Selagi terdaya, Hasru mahu menjaga Nor Ain dengan sebaiknya kerana baginya, adiknya itu bukan hanya darah daging malah harta dunia akhiratnya.
“Emak dan arwah ayah pernah pesan untuk jaga adik kerana dia anak syurga.
“Jadi saya akan ingat pesan itu sampai bila-bila dan tak terfikir nak tamatkan zaman bujang lagi kerana belum puas gembirakan adik.
“Kalau cari isteri nanti pun, biarlah yang boleh terima adik kerana perlu banyak bersabar nak melayan, jaga dan uruskan adik kerana ada masanya dia okay tapi sesekali meragam juga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




