Adun Kuala Besut kemalangan di Gerik

Adun Kuala Besut kemalangan di Gerik

am@hmetro.com.my

Besut: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Azbi Salleh terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Gerik, Perak menghala ke Baling, Kedah, pada awal pagi hari ini.

Azbi berkata, ketika kejadian dia bersama tiga kakitangan Pusat Khidmat Adun Kuala Besut dalam perjalanan ke Muktamar Pas Pusat 2025 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Kedah.

Menurutnya, kereta yang mereka naiki terbabas ketika melalui satu selekoh pada 1.30 pagi.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata, kami semua sedang berbual dan saya berada di tempat duduk penumpang bahagian belakang.

“Kereta tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh kerana permukaan jalan licin baru lepas hujan lebat.

“Kereta berpusing beberapa kali selepas terlanggar penghadang jalan sebelum berhenti,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebaik kereta berhenti berpusing mereka terus mencari pintu untuk keluar dengan segera kerana bimbang kereta akan terbakar.

“Semua mangsa selamat dan kami mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Gerik selepas berjaya menyelamatkan diri.

“Saya dan semua mangsa terpaksa membatalkan hasrat untuk ke muktamar dan balik semula ke Besut, Terengganu,” katanya.

Menurutnya, mereka akan berehat buat sementara waktu untuk memastikan kesihatan kembali pulih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top