am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pensyarah wanita sebuah universiti kerugian hampir RM250,000 apabila terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada 14 Ogos lalu, wanita berusia 56 tahun itu menerima WhatsApp daripada nombor telefon yang menunjukkan iklan pelaburan berserta dengan pautan.
Menurutnya, mangsa kemudian menekan pautan yang diberikan secara tidak sengaja dan terdapat tiga pilihan.
Katanya, mangsa diminta membuat bayaran bagi pilihan pakej pelaburan yang paling rendah iaitu bernilai RM300.
“Selepas itu mangsa dimaklumkan bahawa pelaburan itu kononnya berjaya mendapatkan keuntungan berjumlah RM14,000 tetapi bagi tujuan pengeluaran wang keuntungan mangsa perlu membuat transaksi berikutnya.
“Bermula 20 Ogos hingga 10 September lalu, mangsa membuat pemindahan wang ke 18 akaun berbeza seperti yang diarahkan sehingga mangsa mengalami kerugian berjumlah RM244,925,” katanya.
Katanya, bagaimanapun keuntungan yang dijanjikan tetap tidak dibayar kepada mangsa dan rasa diperdaya mangsa membuat laporan polis.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala sumber kewangan mangsa adalah wang Kumpulan Wang Simpan Persaraan (KWSP) dan simpanan mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




