Isu matrikulasi: Polis terima 5 laporan berkaitan kenyataan President Umany

Isu matrikulasi: Polis terima 5 laporan berkaitan kenyataan President Umany

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lima laporan polis berhubung kenyataan dibuat Presiden University of Malaya Association of New Youth (Umany), Tang Yi Ze.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kenyataan itu dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.

“PDRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung kenyataan itu pada 12 September lalu seperti yang dilaporkan sebuah portal akhbar.

“Sebanyak empat lagi laporan polis diterima berkaitan perkara sama daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan itu didapati boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat serta kegentaran awam.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Selain itu, kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menjalankan siasatan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun di media sosial,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top