Usia muda tapi sudah galas tanggungjawab jaga ibu bapa strok

Usia muda tapi sudah galas tanggungjawab jaga ibu bapa strok

am@hmetro.com.my

Kulai: “Saya mengalami strok sebelah kanan, manakala suami pula sebelah kiri, namun kami bersyukur anak-anak walaupun kecil tapi memahami keadaan dan membantu sedaya upaya.”

Begitu kata Siti Noorhaisha Othman, 36, apabila diserang strok kira-kira dua tahun lalu, sementara suaminya, Mohd Hasry Omar, 40, menerima nasib sama pada awal November tahun lalu.

Siti Noorhaisha dari Felda Bukit Batu, di sini, berkata keluarganya menerima ujian bertimpa mengakibatkan mereka terpaksa bergantung kepada bantuan anak-anak daripada aspek pengurusan diri.

“Ketika saya sakit, suami yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori biasanya akan menguruskan saya sebelum keluar bekerja mahupun selepas pulang bekerja.

“Namun, selepas dia turut mengalami komplikasi kesihatan, kami terpaksa bergantung kepada anak-anak.

“Saya sedar begitu berat bagi mereka yang masih kecil apabila terpaksa memikul tanggungjawab menjaga kami, namun Allah memberikan mereka kekuatan,” katanya.

Siti Noorhaisha berkata, anak sulungnya, Muhammad Dasuki Zakhwan, 10, dan adiknya Siti Darina Zaqiyah, 9, tidak pernah mengeluh ketika memberi jagaan kepadanya mahupun suami.

Menurutnya, sebelum ini anak-anaknya juga terpaksa ponteng sekolah bagi mengurus dia dan suami secara bergilir.

“Mereka memandikan, membersihkan kami, menukarkan lampin pakai buang, memberi ubat mahupun menyuap makanan selain membersihkan rumah, mencuci pakaian serta menguruskan persekolahan mereka.

“Memang mereka tiada masa untuk bermain seperti kanak-kanak lain, sebaliknya hanya menemani kami ketika berada di rumah serta cuba menghiburkan kami.

“Alhamdulilllah daripada keadaan saya mahupun suami yang pernah terlantar akibat strok, kini kami mampu bergerak perlahan. Suami bergerak menggunakan tongkat manakala saya bergerak dengan kerusi roda,” katanya.

Siti Noorhaisha berkata, dia yakin anak-anak mampu menguruskan dia dan suami hasil pengalaman melihat dirinya mengurus ibunya yang sakit sebelum ini selain ketika suaminya menguruskannya.

“Saya memang bersyukur dan terharu dengan anak-anak, namun dari sudut lain saya sedih memikirkan situasi mereka yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Menurutnya, soal makan minum, kebiasaannya ahli keluarganya mahupun jiran akan menyediakannya.

Katanya, buat masa ini mereka bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah keseluruhan RM800.

“Kami bersyukur apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai, Mohd Jafni Md Shukor membina kemudahan serta membaik pulih rumah kami.

“Sejak ada kemudahan itu, anak tidak perlu ponteng sekolah kerana kami mampu bergerak sendiri ke dapur, ruang tamu mahupun ke tandas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top