RM130 Juta Keluar Ke Thailand, Jadi Destinasi Pilihan Rakyat

RM130 Juta Keluar Ke Thailand, Jadi Destinasi Pilihan Rakyat

Lebih 100,000 rakyat Malaysia dijangka melancong ke Thailand sempena cuti panjang Hari Malaysia dan cuti sekolah, dengan purata perbelanjaan sekitar RM600 seorang. Jumlah ini dianggarkan melebihi RM130 juta yang ‘keluar’ hanya dalam beberapa hari musim cuti.

Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, menyatakan fenomena ini menunjukkan trend bercuti ke luar negara semakin menjadi gaya hidup rakyat Malaysia.

Katanya, jumlah besar ini sepatutnya boleh memberi manfaat besar kepada ekonomi domestik, terutamanya pengusaha hotel, restoran dan peniaga kecil tempatan. Namun kelemahan sektor pelancongan dalam negara, termasuk gaji pekerja yang rendah serta pengalaman bercuti yang tidak setanding dengan negara jiran, membuatkan rakyat lebih cenderung memilih luar negara.

Beliau menekankan bahawa jika jumlah sama dibelanjakan dalam negara, ratusan pengusaha PKS dapat manfaat langsung. Malah, sekiranya lima juta rakyat bercuti dalam negara sepanjang tahun, perbelanjaan boleh mencecah RM3 bilion — cukup untuk merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan.

Bagaimanapun, tanpa penambahbaikan segera dari segi kos dan pengalaman pelancongan, trend aliran keluar wang ke luar negara pada setiap musim cuti umum dijangka terus berulang, sekali gus melemahkan lagi sokongan terhadap industri pelancongan domestik.

Sumber: Harian Metro


Scroll to Top