Taman Kejiranan PA Seri Sarawak dinaik taraf, lebih 7,500 penduduk dapat manfaat

Taman Kejiranan PA Seri Sarawak dinaik taraf, lebih 7,500 penduduk dapat manfaat

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 7,500 penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak bakal menikmati taman kejiranan baharu selepas kawasan itu dinaik taraf dengan anggaran kos RM800,000 oleh anak syarikat milik Permodalan Nasional Berhad (PNB), PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB).

PMVSB dalam kenyataan berkata, projek ini adalah taman kedua di bawah Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Think City.

Katanya, ia terletak kurang 1 kilometer (KM) dari Menara Merdeka 118 dengan taman seluas 16,000 kaki persegi itu kini menjadi ruang hijau mesra riadah, rekreasi dan interaksi komuniti.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, inisiatif berasaskan komuniti ini membuktikan Kuala Lumpur mampu berkembang dengan kerjasama strategik yang memberi impak besar kepada masyarakat.

“Warga emas kini ada ruang kekal aktif, keluarga dan kanak-kanak pula dapat menikmati persekitaran yang selamat serta mesra.

“Usaha ini membawa kita lebih hampir kepada aspirasi Bandar Sejahtera Untuk Semua menjelang 2030,” katanya.

Katanya, antara penambahbaikan dilakukan termasuk taman permainan kanak-kanak, tempat duduk berbumbung, pencahayaan, laluan pejalan kaki, landskap baharu, sistem perparitan lebih baik serta ruang komuniti untuk aktiviti penduduk.

PMVSB turut menekankan aspek kelestarian dengan penggunaan bahan tahan lama, tumbuhan tempatan dan permukaan berliang bagi mengurus air hujan serta mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, kejayaan projek sama di PA Jalan Hang Tuah sebelum ini membuktikan impak positif kepada komuniti.

“Berbekalkan kejayaan itu, kami bawa semangat sama ke PA Seri Sarawak supaya komuniti di sini turut merasai manfaatnya.

“Visi kami sejak awal adalah memastikan Merdeka 118 berkembang seiring dengan kejiranan sekitarnya,” katanya.

Mengulas mengenai penaiktarafan itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PA Seri Sarawak, Mohd Azmi Zakaria berkata, penaiktarafan itu menyemarakkan semula semangat kebersamaan.

“Ia bukti komuniti ini dihargai dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan bandar. Kami amat bersyukur atas transformasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, PMVSB berkata, projek ini adalah sebahagian daripada perancangan beberapa penambahbaikan ruang awam di Presint Merdeka 118 dengan komitmen berterusan PMVSB memastikan manfaat pembangunan dinikmati komuniti perumahan awam di pusat bandar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top