redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya buat kerana mahukan pengalaman dan membuktikan tak perlu duduk hotel mahal atau ada wang banyak untuk mengembara.
“Tapi kena bijak rangka percutian ikut bajet dan bersungguh merealisasikan apa yang dirancang,” kata Mushamir Mustafa yang mencabar diri dengan menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia menaiki Proton Iriz sempena bulan kemerdekaan yang lalu.
Lebih menarik misi solo Mushamir, 33, itu hanya membabitkan kos keseluruhan RM1,000 sahaja, yang bermula di Kuala Lumpur pada 16 Ogos lalu dan berakhir pada Hari Kebangsaan di ibu negara.
Sepanjang pengembaraannya, banyak destinasi yang menjadi tempat persinggahan, termasuk empat penjuru Semenanjung Malaysia iaitu Tanjung Piai, Pontian dan Desaru di Johor; Pengkalan Kubor di Kelantan dan Padang Besar, Perlis.
“Sebelum (misi) ini, saya sudah biasa bermalam di dalam kereta, malah kereta saya sudah seperti rumah bergerak, juga tempat berteduh daripada hujan dan panas serta (pengangkutan) ke merata destinasi.
“Keinginan mencuba sesuatu yang baharu mendorong saya rancang ‘trip’ jelajah Semenanjung Malaysia dengan bajet tidak lebih RM1,000.
“Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk kos ubah suai kereta menjadi ‘micro car camper’ kira-kira RM6,935, yang menukar tempat duduk penumpang belakang kepada pelantar katil kayu lengkap dengan ruang simpan barang, tangki air, bumbung dan dapur mini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro
Pengurus pemasaran itu berkata, setiap tempat dijelajah meninggalkan memori suka dan duka, bahkan disifatkan pengalaman berharga kerana bukan mudah mendapat peluang sebegitu, apatah lagi ia mungkin hanya berlaku sekali seumur hidup.
Antara cabaran diingati katanya, apabila panel solar yang baru dipasang gagal berfungsi ketika tiba di Melaka yang menyebabkan dia panik kerana alat itu dianggap ‘nyawa’ trip berkenaan.
“Semua kembali baik selepas saya beli dua panel tambahan, manakala pengalaman lain yang tak dapat dilupakan adalah ketika singgah di sebuah kilang dekat Bidor, Perak dan saya dapat teruskan tradisi ayah membeli parang di situ.
“Saya juga dapat bergambar dengan cucu tukang besi di lokasi sama dengan gambar yang diambil ayah kira-kira enam tahun lalu,” katanya yang juga berdepan pengalaman mencemaskan apabila terpaksa berpatah balik kira-kira satu kilometer (km) sebelum tiba di Gunung Jerai, Kedah kerana keadaan jalan yang licin dan tayar botak.
Menurut Mushamir, impian melakukan pengembaraan solo itu sukar direalisasi tanpa tekad dan keberanian, malah dia gembira apabila menyahut cabaran terbabit serta merasa teroka tempat yang belum pernah dijejaki sebelum ini.
“Seronok kerana dapat jumpa bermacam orang sehingga ada orang kampung ajak ikut sama buat persembahan dikir barat.
“Diharap ada peluang lagi untuk buat trip solo lain pada masa akan datang kerana banyak sebenarnya tempat menarik di Malaysia, cuma kita yang perlu teroka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




