Serangan ke atas Qatar wajar kerana biaya Hamas – Netanyahu

Serangan ke atas Qatar wajar kerana biaya Hamas – Netanyahu

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan serangan terhadap pegawai Hamas di Qatar minggu lalu sebagai tindakan yang wajar.

Netanyahu berkata, Qatar mempunyai kaitan rapat dengan Hamas kerana melindungi, membiayai dan memperkukuh kumpulan itu.

“Qatar mempunyai pengaruh besar yang boleh digunakan, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Oleh itu tindakan kami adalah sepenuhnya wajar,” katanya pada sidang akhbar.

Serangan terhadap mesyuarat Hamas di Doha itu adalah serangan pertama Israel ke atas Qatar yang juga sekutu Amerika Syarikat (AS).

Menurut Hamas dan sumber Israel, pengeboman itu mengorbankan enam orang, namun tiada pegawai tertinggi Hamas yang menjadi sasaran Zionis dilaporkan terbunuh.

Sebagai tindak balas, Qatar menganjurkan Sidang Kemuncak Luar Arab-Islam di Doha kelmarin, yang menghimpunkan hampir 60 negara bagi menggesa tindakan tegas terhadap Israel.

Dalam pada itu, Qatar tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan sejak sekian lama sudah menjadi tuan rumah kepada pemimpin Hamas.

Qatar juga menjadi pengantara penting dalam rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas termasuk rundingan bagi gencatan senjata perang serta pembebasan 251 tebusan Israel yang ditawan Hamas ketika serangan berlaku.

Antara 2018 hingga 2023, Qatar dilaporkan menyalurkan jutaan dolar dalam bentuk bantuan tunai bulanan kepada Gaza yang ditadbir Hamas, dengan kelulusan kabinet Netanyahu ketika itu.

Sementara itu, awal tahun ini, media Israel melaporkan dua pembantu Netanyahu disiasat agensi keselamatan dalaman Shin Bet kerana didakwa menerima bayaran dari Qatar.

Skandal yang digelar ‘Qatargate’ itu menimbulkan persoalan mengenai pengaruh Qatar dalam Pejabat Perdana Menteri Israel.

Netanyahu yang dipanggil memberi keterangan dalam siasatan berkenaan pada Mac lalu dan mengecamnya sebagai ‘pemburuan politik’.

Media Israel turut mengaitkan pemecatan Ketua Shin Bet, Ronen Bar, dan cubaan memecat Peguam Negara, Gali Baharav-Miara, oleh kabinet dengan peranan mereka dalam siasatan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top