LPNM: Menerajui pertumbuhan industri nanas Malaysia

LPNM: Menerajui pertumbuhan industri nanas Malaysia

Industri nanas Malaysia terus berkembang pesat, menjadikan buah tropika ini sebagai salah satu pemacu utama sektor pertanian negara. Di sebalik pencapaian ini, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memainkan peranan penting memastikan pembangunan industri berlaku secara menyeluruh daripada penanaman, penyelidikan, pemasaran, hinggalah ke pasaran eksport.

Tahun 2024 menyaksikan industri nanas Malaysia melonjak dengan pengeluaran sebanyak 516,870 metrik tan bernilai lebih RM1.3 bilion. Johor kekal peneraju utama dengan 347,490 metrik tan, iaitu lebih dua pertiga daripada jumlah keseluruhan, manakala Pahang (42,698 MT), Sarawak (33,232 MT) dan Kedah (18,932 MT) turut memberi sumbangan besar.

LPNM

Foto ihsan: Facebook LPNM

Impak ekonomi dan sosioekonomi

Industri nanas bukan sahaja menjana hasil lumayan, malah memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat luar bandar:

  • Nilai pengeluaran mencapai RM1.3 bilion pada 2024.
  • Pendapatan pengusaha mampu mencecah sehingga RM9,000 sebulan.
  • Purata pendapatan pekebun sekitar RM8,500 sehektar sebulan, lebih tinggiberbanding banyak tanaman lain.

Ribuan peluang pekerjaan diwujudkan dalam sektor hiliran seperti pemprosesan, logistik, eksport dan agropelancongan.

LPNM

Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M.Salleh (dua hari kiri) dan Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali (dua dari kanan)

Peranan strategik LPNM

1. Meningkatkan Produktiviti

LPNM memperkenalkan Night Farming, iaitu kerja ladang dilakukan pada waktu malam untuk mengurangkan tekanan haba dan meningkatkan keberkesanan operasi. Kaedah tanaman berkepadatan tinggi pula digunakan bagi memaksimumkan hasil tuaian di kawasan terhad, manakala penggunaan mekanisasi dan automasi seperti mesin penanam, penuaian dan sistem pengairan automatik membantu menjimatkan kos serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

2. Mengembangkan Eksport

Eksport nanas segar dan produk hiliran terus meningkat, dengan sasaran 4,000 kontena menjelang 2030. Malaysia kini mencapai kadar sara diri nanas sebanyak 103%, bermakna pengeluaran melebihi keperluan domestik.

3. Melahirkan Usahawan Baharu

Lebih 8,000 pengusaha nanas dan 308 syarikat mendapat bimbingan LPNM. Program seperti Hijrah Asnaf Tanaman Nanas membuktikan potensi nanas sebagai sumber pendapatan baharu dengan hasil mencecah RM5,000 sebulan.

4. Menjamin Kelestarian Pertanian

Sisa nanas digunakan semula sebagai makanan ternakan, selain pembangunan agropelancongan berasaskan nanas yang menyokong agenda ekonomi hijau dan Malaysia MADANI.

Scroll to Top