am@hmetro.com.my
Alor Setar: “Saya terdengar jeritan jiran yang memberitahu rumah terbakar di tingkat atas Blok D. Ketika itu saya baru selesai menunaikan solat Zohor.
“Sebaik keluar rumah, saya nampak penghuni blok sedang berlari turun tangga menyelamatkan diri dan keadaan ketika itu kelam kabut,” kata Ramlah Bibi Abdur Rajiman, 52.
Wanita itu menceritakan semula kebakaran yang berlaku di tingkat empat Blok D Flat Setia Jaya, Jalan Langgar di sini yang menyebabkan lapan unit terjejas, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan
“Bahagian atas Blok D memang tiada penghuni tetapi tingkat 1,2 dan 3 ada ramai penghuni iaitu kira-kira 50 orang. Semuanya berjaya menyelamatkan diri.
“Saya dengar bunyi meletup di tingkat atas blok itu dan tidak lama kemudian, pasukan bomba sampai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ramlah Bibi mendakwa kebakaran itu kejadian kedua yang berlaku di blok berkenaan selepas kejadian pertama kira-kira dua tahun lalu.
Flat Setia Jaya mempunyai 10 blok dan sudah wujud sejak 30 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 1.21 tengah hari dan 16 anggota ke lokasi, dibantu anggota BBP Jalan Raja dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
Menurutnya, lapan unit rumah terbakar tidak berpenghuni dan pihaknya menghadapi cabaran dalam pemadaman api disebabkan banyak bahan buangan mudah terbakar.
“Kebanyakan rumah kosong tapi banyak barang yang ditinggalkan, selain ada aktiviti kurang sihat di sini. Kemusnahan dianggar 90 peratus,” katanya yang memaklumkan punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




