Skuad Bunga Raya 7s elak tersingkir Siri Asia

Skuad Bunga Raya 7s elak tersingkir Siri Asia

Sungai Buloh: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara bakal turun berjuang di Hangzhou, China dengan misi untuk terus kekal dalam saingan Siri Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah bagi edisi 2025 dijadual berlangsung Sabtu dan Ahad ini.

Menyedari cabaran getir menanti skuad Bunga Raya 7s menentang juara bertahan Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), ketua jurulatih Nik Safuan Ismade Nik Man berharap agar anak buahnya dapat mencari kemenangan ketika berdepan satu lagi pasukan iaitu Uzbekistan dalam aksi Kumpulan A sekali gus berpeluang mengelak tersingkir.

“Kita tahu kita bersama dengan kuasa besar dalam Asia iaitu Hong Kong dan juga UAE yang rata-rata menggunakan pemain naturalisasi daripada Fiji, jadi apa yang saya boleh harapkan adalah kemenangan menentang Uzbekistan.

“Untuk (aksi) UAE dengan Hong Kong, kita akan cuba tampil prestasi terbaik dengan cuba kurangkan defisit skor selain menilai kelemahan yang ada berdepan pasukan besar,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad Bunga Raya 7s di sini, hari ini.

Nik Safuan berkata saingan di Hangzhou juga menjadi medan terbaik menilai tahap kesediaan pasukan sebelum bertarung di pentas Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Dis nanti.

Sebanyak 12 pasukan beraksi pada saingan Siri Asia kali ini dan dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Juara kumpulan dan satu pasukan naib juara kumpulan terbaik layak ke peringkat separuh akhir.

Dua pasukan naib juara lain dan dua lagi pasukan yang menduduki kedudukan ketiga terbaik akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan manakala selebihnya bermain dalam perlawanan klasifikasi kesembilan hingga ke-12.

Hanya dua pasukan tercorot akan tersingkir daripada kejohanan tersebut dan beraksi pada saingan Trofi Cabaran Asia 7s.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top