rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru di sini, sengaja dipolitikkan pihak tertentu.
Beliau menafikan dakwaan tidak mengambil peduli nasib penduduk yang terkesan sebagai wakil rakyat apabila tidak turun padang membantu mereka semasa operasi perobohan bangunan di kampung berkenaan.
Menurutnya, beliau mempunyai program lain pada hari kejadian selain dinasihati pihak berkuasa supaya tidak berada di lokasi susulan ketegangan yang berlaku.
“Saya dinasihatkan oleh polis untuk tidak pergi kerana pada ketika itu, keadaan begitu tegang. Saya tak tahu macam mana boleh tegang dengan 14 rumah sahaja yang belum pindah tapi seolah-olah macam seluruh kawasan membabitkan 328 orang tengah berperang dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
“Saya bersyukur tak pergi dan dengar nasihat sebab kemungkinan batu yang kena Ketua Polis Daerah itu kena dekat saya, sebab orang luar takkan faham. Kalau polis tak boleh hormat, apatah lagi saya wakil rakyat ini?.
“Saya dapat maklumat yang datang itu semua orang daripada luar, tak ada kena mengena dengan rumah mereka. Jadi saya rasa ini dah masuk elemen politik,” katanya dalam Podcast Utama, malam ini.
Pada 11 September lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera semasa mengawal keadaan ketika operasi pengosongan bangunan di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.
Operasi berkenaan susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan dengan diketuai oleh bailif mahkamah bersama beberapa agensi berkaitan.
Mengulas lanjut, Johari berkata, pihak luar tidak memahami isu sebenar dan dipolitikkan menyebabkan berlaku kekecohan.
Katanya, beliau pernah memberi penjelasan mengenai isu terbabit pada April lalu melalui podcast dan ia membantu ramai rakyat melihat lebih jauh serta memahami isu berkenaan.
“Tetapi saya masih menyalahkan pemaju, mereka mengambil peluang terhadap mereka yang tinggal dalam kawasan itu yang kebanyakannya kurang kefahaman dan kumpulan B40.
“Ini yang saya rasa agak kesal sampai Ketua Polis Daerah pun kena baling batu, sepatutnya tak perlu berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




