Najis lipas, tikus merata, restoran terkenal diarah tutup 14 hari

Najis lipas, tikus merata, restoran terkenal diarah tutup 14 hari

am@hmetro.com.my

Georgetown: Dapur sebuah restoran terkenal di Jalan Penang di sini dikesan mempunyai lipas dan tikus, malah najis haiwan perosak itu turut ditemui merata tempat ketika pemeriksaan pihak berkuasa, hari ini.

Pasukan operasi Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut turut mendapati lantai dapur berlendir dan menjijikkan, sementara kotak penyimpanan rempah ratus ‘menyimpan’ puluhan lipas.

Lipas juga dikesan berkeliaran di pintu bilik sejuk beku, manakala bahan seperti daging, ayam dan sotong tidak disimpan di dalam bekas yang sempurna.

Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, M Shashikumaran berkata, sebanyak 20 kesalahan dikenal pasti semasa pemeriksaan dilakukan, termasuk pengendali makanan yang memakai cincin dan berkuku hitam serta kotor.

“Makanan diletak di atas lantai, malah terdapat tong sampah di dapur yang tidak ditutup dan diletak bersebelahan kawasan penyediaan makanan.

“Lantai dapur yang pecah menakung air, manakala lantai dalam bilik sejuk beku berada dalam keadaan tidak memuaskan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Mengulas lanjut, Shashikumaran berkata, beberapa pengendali makanan didapati tidak mendapatkan suntikan anti tifoid dan stor penyimpanan bahan makanan tidak disusun dengan bersih dan kemas.

Susulan itu katanya, pemilik premis dikenakan tiga kompaun berjumlah RM3,000 dan restoran diarah tutup selama 14 hari berkuat kuasa hari ini mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Dalam operasi itu, sebuah lagi premis yang menjual hidangan ala Thai turut diberi notis penutupan sementara selama 14 hari mengikut seksyen sama. Dua kompaun berjumlah RM2,000 dengan sembilan kesalahan dikesan termasuk penemuan lipas,” katanya.

Sementara itu, pemilik premis berkata, dia akur dengan arahan penutupan dan berjanji akan membersihkan bahagian dapur dengan segera.

“Kali terakhir premis ini ditutup ialah kira-kira lima tahun lalu dan kami terus lakukan kerja pembersihan sebaik terima notis, begitu juga pada hari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top