am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner diberitahu dompet hilang yang didakwa dicuri Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebenarnya sudah dijumpai di blok akademik sekolahnya pada petang 15 Julai lalu.
Ketua Warden, Azhari Abd Sagap berkata dompet itu ditemui seorang pelajar senior, namun belum diserahkan kepada pemiliknya pada malam hari yang sama ketika arwah Zara ‘disiasat’ atas dakwaan mencuri.
Beliau bagaimanapun, berkata hanya dompet yang dijumpai, manakala duit dan barangan lain dalam dompet itu hilang.
Saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina itu berkata demikian ketika ditanya peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu arwah di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding petang tadi.
Shahlan bertanya sama ada tiada mana-mana barangan yang didakwa hilang itu ditemui semula, termasuk dompet, kad pengenalan (IC) dan kad bank.
Shahlan: Tuduhan curi adalah kecurian duit?
Azhari: Duit, IC dan kad bank, itu yang saya ingat.
Shahlan: Berapa tuduhan curi hari itu yang cikgu tahu terhadap Zara?
Azhari: Ini sahaja pada 15 Julai itu.
Shahlan: Tidak ada dompet, IC atau duit dijumpai?
Azhari: Dompet kita tahu ada mengadu dengan ketua bilik, tapi dompetnya sebenarnya sudah dijumpai.
Shahlan: Di mana?
Azhari: Di blok akademik, bangunan sekolah, cuma belum diserah kepada dia pada waktu malam itu, yang pasal pengadu kepada ketua bilik.
Shahlan: Siapa jumpa dompet itu?
Azhari: Pelajar (senior) pada petang 15 Julai, cuma belum diserah kepada pemiliknya pada malam itu.
Shahlan: Maksudnya apa yang Zara buat, iaitu dengan bersumpah wallahi dia tidak curi dompet itu betullah?
Azhari: Berdasarkan pengakuannya, iya. Cuma dompet itu, maksudnya duit tidak ada.
Shahlan: Tiada benda lain dijumpai di loker atau beg Zara oleh ahli dorm (bilik asrama)?
Azhari: Yang saya tahu itu sahaja.
Azhari turut mengiyakan bahawa tiada duit dan IC ditemui dalam almari di bilik asrama arwah Zara Qairina.
Sementara itu, Azhari turut mengakui tiada laporan kepada warden mengenai kes kecurian yang dikaitkan dengan arwah Zara Qairina.
Beliau juga mengakui kes seperti itu sepatutnya dilaporkan kepada warden untuk disiasat apabila ditanya Shahlan sama ada boleh atau tidak ketua bilik dan pelajar senior mengambil tindakan sendiri terhadap arwah Zara Qairina.
© New Straits Times Press (M) Bhd




